UUM Sintok, 19 Januari 2025 - Inkubator perniagaan merujuk kepada program atau persekitaran khusus direka untuk menyokong pertumbuhan dan kemajuan sesebuah syarikat baharu dan kecil menerusi bimbingan, pembiayaan awal, peluang rangkaian dan akses kepada sumber teknologi. Matlamat utama inkubator perniagaan adalah membantu perniagaan tersebut berjaya dan mampu berdikari. Inkubator perniagaan kebiasaannya mempunyai strategi-strategi untuk meminimakan risiko peringkat awal penubuhan perniagaan dan meningkatkan lagi peluang usahawan untuk kekal lama dalam pasaran.
Foto RTM
Antara kemudahan yang disediakan menerusi inkubator perniagaan ini termasuklah perkhidmatan sokongan dan kemudahan kepada perniagaan baharu seperti ruang pejabat, pentadbiran, infrastruktur teknologi maklumat dan akses kepada peralatan khusus lain yang diperlukan oleh seseorang usahawan berkait jenis perniagaan atau perkhidmatan yang ditawarkan mereka.
Inkubator perniagaan juga boleh biasanya menawarkan bimbingan dan tunjuk ajar kepada usahawan melibatkan pakar industri, profesional perniagaan dan sebagainya. Dengan cara ini, usahawan yang menyertai inkubator perniagaan tersebut diberi panduan untuk berjaya dalam bidang masing-masing. Selain itu, mereka juga boleh mendapatkan peluang-peluang membina rangkaian menerusi inkubator perniagaan. Misalnya, rangkaian dengan pelabur, usahawan-usahawan yang telah berjaya dan usahawan lain yang berpotensi menjadi rakan kongsi perniagaan. Inilah salah satu peranan unik inkubator perniagaan dalam membantu usahawan baharu mengembangkan perniagaan mereka.
Menerusi inkubator perniagaan, usahawan muda boleh menyertai pelbagai bengkel dan latihan secara berkala merangkumi topik-topik seperti perancangan perniagaan, pemasaran, pengurusan kewangan dan skala operasi yang sesuai dengan perniagaan masing-masing. Selain itu, akses kepada dana seperti geran-geran perniagaan, modal pelaburan dan rangkaian dengan pelabur juga lebih mudah kerana kesemuanya dapat disediakan oleh inkubator perniagaan. Ekosistem yang menggalakkan kerjasama antara perniagaan-perniagaan baharu juga lebih mudah diwujudkan menerusi inkubator perniagaan ini. Perniagaan baharu boleh berkongsi idea, memahami cabaran dan mendapatkan penyelesaian daripada ahli perniagaan yang telah lama bertapak dalam pasaran. Ini adalah antara faktor-faktor kelebihan inkubator perniagaan bagi membantu orang muda atau khususnya mahasiswa untuk menjadikan bidang perniagaan sebagai kerjaya mereka.
Semua universiti perlu wujudkan inkubator perniagaan mahasiswa
Umumnya, universiti adalah sebuah institusi pendidikan tinggi yang menawarkan program pengajian peringkat diploma, ijazah dan ijazah lanjutan dalam pelbagai disiplin ilmu. Program yang ditawarkan sesebuah universiti terdiri daripada pengajian bersifat teoritikal, pengetahuan praktikal kepada mahasiswa dan pelbagai program profesional lain. Universiti adalah institusi penting kepada negara dan masyarakat kerana ia menggalakkan pendidikan dan penyelidikan untuk pembangunan. Selain itu, universiti dapat membentuk individu yang mampu menyumbang kepada komuniti, industri dan lain-lain lagi.
Dalam konteks tersebut, pelaburan sesebuah universiti ke arah mewujudkan inkubator perniagaan kepada mahasiswa dapat memberikan pilihan kepada graduan sama ada mahu mendapatkan pekerjaan sebagai kerjaya atau menjadi usahawan atau pengasas perniagaan. Memilih bidang perniagaan bermakna, mahasiswa terbabit telah melihat potensi jangka panjang bidang perniagaan. Jika diuruskan dengan baik dan mendapat sokongan inkubator perniagaan, beliau akan memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan negara.
Sebagai contoh, bayangkan seorang mahasiswa universiti yang mempunyai idea yang sangat inovatif dan mampu memberi impak kepada industri. Idea tersebut bukan sahaja dapat mengubah industri tetapi mampu mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baharu dan produk atau perkhidmatannya dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh orang lain atau masyarakat.
Namun, memulakan perniagaan memerlukan sokongan. Inkubator perniagaan yang ditubuhkan oleh sesebuah universiti dapat menjadi satu sistem sokongan kepada mahasiswa yang mahu memulakan perniagaan. Sokongan dari segi akses kepada bimbingan, pembiayaan, kemudahan dan infrastruktur dapat diberikan kepada mahasiswa terbabit. Tanpa inkubator perniagaan ini, idea mahasiswa itu mungkin akan lenyap begitu sahaja dan dia akhirnya mengambil jalan pintas dengan mencari pekerjaan dan makan gaji sahaja.
Impak inkubator perniagaan ini dapat dibuktikan melalui beberapa kisah kejayaan mahasiswa yang pernah mengikuti program ini. Pada tahun 2017, berita kejayaan seorang mahasiswa di sebuah universiti di Serdang pernah dilaporkan media. Mahasiswa berkenaan berjaya menjana pendapatan sehingga lima angka dan mampu menawarkan pekerjaan menjual cendol di sekitar kawasan kampus. Selain minat mahasiswa itu memulakan perniagaan kecil, kejayaannya turut disokong oleh inisiatif pihak universiti yang memberi peluang dari segi ruang niaga kepada beliau untuk menjual cendol.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Biosistem dan Pertanian itu menggunakan jenama “Serdang Cendol” sejak 2014 bukan sahaja menjana pendapatan ketika masih bergelar mahasiswa tetapi turut menggaji sekitar 30 pekerja untuk menguruskan jualan di 3 cawangan dalam kampus dan dilaporkan telah mengembangkan perniagaan di sekitar Kuala Lumpur dan Setiawangsa pada 2019.
Di sebuah universiti di Kelantan pula, seorang pelajar universiti tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan memperkenalkan penjualan cendol tin yang dijenamakan sebagai “Vcendol” pada 2021 turut menjadi salah satu kisah kejayaan berkaitan program inkubator perniagaan di peringkat universiti.
Memandangkan cendol mudah basi kerana mengandungi santan, mahasiswa terbabit bekerjasama dengan pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D), Pusat Pembangunan dan Pendidikan Keusahawanan serta Institut Keusahawanan fakulti bagi menghasilkan formula baharu menghasilkan cendol tahan lebih lama dan sedia diminum dalam tin. Inovasi ini turut mengharumkan nama universiti apabila meraih anugerah pertandingan inovasi dan reka cipta nasional.
Di sebuah universiti terkemuka di Amerika Syarikat pula, idea seorang pelajar untuk membangunkan aplikasi storan awan (cloud storage) dikenali sebagai Dropbox mendapat sokongan kuat pihak universiti menerusi program inkubator perniagaan. Berbekalkan pembiayaan awal melalui inkubator perniagaan universiti, pengasas Dropbox itu berjaya membangunkan aplikasi yang kini terkenal di seluruh dunia dan mengubah syarikat kecil itu kepada syarikat teknologi global bernilai berbilion dolar Amerika.
Ini adalah beberapa contoh yang memperlihatkan potensi, impak dan peranan inkubator perniagaan di peringkat universiti yang mampu memacu bidang inovasi dan pertumbuhan ekonomi. Berdasarkan kajian-kajian lalu juga merumuskan bahawa pelaksanaan strategi menerusi inkubator perniagaan ini dapat membantu mahasiswa memulakan langkah sebagai ahli perniagaan dan sokongan yang berterusan boleh membantu perniagaan mereka berkembang. Sokongan menerusi inkubator perniagaan universiti pula dalam pelbagai bentuk seperti ruang kerja dan niaga serta akses kepada bimbingan keusahawanan.
Sementara itu, dalam kajian lain pula menunjukkan hubungan positif yang signifikan antara niat keusahawanan pelajar dengan sokongan yang disediakan melalui program inkubator perniagaan universiti. Seseorang mahasiswa yang berminat menjalankan perniagaan, boleh mendapatkan bimbingan profesional, bantuan pembiayaan dan akses rangkaian untuk mereka meningkatkan orientasi keusahawanan mereka. Inkubator perniagaan yang diwujudkan pihak universiti memainkan peranan utama membentuk budaya keusahawan di peringkat kampus.
Ini kerana, sesebuah universiti umumnya mempunyai banyak kumpulan bakat yang pelbagai, data penyelidikan terkini dan hubungan jaringan industri kukuh. Ia dapat mewujudkan ekosistem yang bukan sahaja menyuburkan aspirasi keusahawanan tetapi merapatkan jurang teori akademik dan aplikasi praktikal. Melalui pelaburan universiti dalam inkubator perniagaan, ia mampu memberikan kelebihan relatif kepada mahasiswa untuk menjadi usahawan lengkap ilmu pengetahuan terutama berkaitan asas perniagaan kerana sebuah universiti mempunyai kepakaran akademik, industri, penyediaan akses pembiayaan dan rangkaian profesional mampan yang boleh digembleng dalam program inkubator perniagaan mereka.
Cabaran pelaksanaan inkubator perniagaan universitiWalaupun pelaksanaan program inkubator perniagaan di peringkat universiti membawa banyak impak, masih terdapat cabaran dan halangan yang perlu diatasi bagi memastikan kejayaan program ini. Cabaran utama berkaitan pelaksanaan inkubator perniagaan adalah isu pembiayaan. Pastinya, universiti memerlukan pembiayaan yang besar bagi menjayakan program inkubator perniagaan. Sokongan kerajaan, pihak industri, alumni dan pihak berkepentingan sebenarnya boleh menjadi pendorong kepada pelaksanaan inkubator perniagaan di peringkat universiti ini.
Kerjasama strategik pihak universiti, industri, kerajaan dan alumni dapat mewujudkan jaringan bukan sahaja dari segi kewangan tetapi dari sudut bimbingan termasuk khidmat nasihat, kursus dan latihan kepada peserta inkubator perniagaan universiti. Selain itu, strategi integrasi aktiviti inkubator ke dalam kurikulum akademik juga dapat meningkatkan keterlihatan, cakna dan penyertaan dalam kalangan mahasiswa.
Pembuat dasar atau pihak kerajaan boleh memainkan peranan seperti menawarkan insentif menggalakkan pelaburan swasta dalam program inkubator perniagaan peringkat universiti. Program-program berkaitan keusahawanan juga boleh diperluaskan kepada mahasiswa seperti inisiatif kerajaan sejak tahun 2014 menerusi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang bermatlamat menggalakkan lebih ramai belia menceburi bidang perniagaan. Program seperti ini boleh ditawarkan kepada mahasiswa sewaktu mereka masih dalam pengajian.
Sebagai kesimpulan, inkubator perniagaan universiti bukan sahaja meningkatkan potensi individu dalam bidang perniagaan tetapi dapat membantu menangani cabaran ekonomi masyarakat dari aspek mengurangkan pengangguran dan menjana pembangunan ekonomi tanpa perlu bergantung kepada import barangan atau perkhidmatan dari luar negara. Oleh itu, universiti mesti memberikan keutamaan kepada penubuhan dan pertumbuhan inkubator perniagaan termasuk mengintegrasikannya dengan penawaran akademik dan kurikulum. Ia juga strategi mantap untuk menggalakkan inovasi dalam kalangan pelajar universiti yang seterusnya menyumbang kepada kemajuan negara.Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Zuraidah Abu Talib
Pensyarah Kanan Program Teknologi Media
Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC)
Universiti Utara Malaysia (UUM)
E-mel:
Sumber : BeritaRTM