All News

TikTok: Strategi komunikasi politik berkesan dekati pengundi

Sintok, 31 Disember - Dalam era digital hari ini, TikTok bukan lagi sekadar platform hiburan tetapi telah menjadi medium penting untuk komunikasi terutamanya bagi generasi muda. Ahli politik kini melihat potensi TikTok sebagai medium untuk mendekati pengundi dengan lebih efektif. Namun, keberkesanan penggunaan TikTok bergantung kepada cara kandungan tersebut dipersembahkan, sejauh mana ia relevan dan bagaimana ia mampu mengajak netizen untuk turut serta.

undi

Foto Hiasan/RTM

Era kiriman rutin di media sosial seperti “Hari ini saya hadir ke acara ini” atau “Saya merasmikan program itu” oleh ahli-ahli politik sudah berlalu. Generasi muda yang menjadi pengguna utama TikTok kini mahukan kandungan yang lebih interaktif iaitu kandungan yang mampu mendidik, memberi inspirasi dan mengangkat isu-isu yang dekat dengan kehidupan mereka. Justeru, terdapat beberapa strategi komunikasi politik yang boleh diketengahkan ahli politik kepada netizen untuk mereka merasa lebih dekat dan terhubung dengan mereka.

Untuk memastikan kandungan TikTok benar-benar memberi impak, ahli politik perlu memahami keperluan pengguna media sosial dan menghasilkan kandungan yang bukan sahaja menarik perhatian tetapi juga melibatkan netizen secara aktif. Berikut adalah lima strategi kandungan yang boleh membantu ahli politik mendekati pengundi dengan lebih efektif.

Kandungan berasaskan teknik penceritaan

Teknik penceritaan (storytelling) adalah salah satu kaedah yang sangat berkesan untuk menyampaikan mesej politik di TikTok. Pendekatan ini membolehkan ahli politik menghubungkan isu-isu besar dengan pengalaman hidup sebenar. Ini menjadikan mesej mereka lebih relevan dan mudah difahami oleh khalayak. Penceritaan yang baik bukan sahaja menyampaikan maklumat tetapi juga mencetuskan hubungan emosi antara penonton dan pemimpin.

Sebagai contoh, seorang ahli politik berkongsi kisah hidup beliau yang membesar sebagai anak yatim dalam keluarga miskin di kawasan luar bandar. Walaupun menghadapi cabaran yang besar, beliau berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti luar negara dan akhirnya menjadi pegawai tinggi kerajaan sebelum melibatkan diri dalam politik. Perkongsian pengalaman peribadi seperti ini bukan sahaja menyentuh hati netizen tetapi juga memberikan inspirasi kepada mereka untuk berusaha mencapai kejayaan dalam kehidupan.

Melalui teknik penceritaan, ahli politik bukan sahaja dapat berkongsi nilai yang mereka perjuangkan tetapi juga membina hubungan yang lebih mendalam dengan netizen. Kandungan sebegini membantu netizen untuk mengenali pemimpin mereka bukan hanya sebagai figura politik, tetapi sebagai individu yang memahami cabaran hidup yang sebenar.

Kandungan yang mendidik

TikTok juga boleh digunakan sebagai platform untuk mendidik netizen tentang dasar-dasar penting dan inisiatif-inisiatif yang telah dijalankan oleh kerajaan. Kandungan ini perlu bersifat kreatif dan mudah difahami untuk menarik perhatian generasi muda. Kandungan mendidik membantu menjelaskan isu-isu kompleks dalam bentuk mudah difahami, sekali gus mendorong netizen untuk berfikir secara rasional.

Sebagai contoh, seorang ahli politik yang memegang jawatan pengerusi sebuah agensi kerajaan berkaitan pengairan dan pertanian berjaya menjelaskan isu banjir secara tuntas tanpa berselindung. Dalam video TikToknya, beliau menerangkan proses pelepasan air dari empangan akibat peningkatan isi padu air hujan yang tinggi semasa musim tengkujuh. Video tersebut yang dirakam di lokasi-lokasi pengairan terjejas, memberi gambaran jelas kepada netizen mengenai faktor sebenar banjir yang melanda negeri utara pada bulan Disember baru-baru ini.

Penjelasan seperti ini bukan sahaja memberikan fakta yang sahih, tetapi juga mengajak netizen untuk berfikiran rasional dan cuba menyelami permasalahan sebenar di sebalik sesuatu isu. Kandungan mendidik yang disampaikan dengan jujur dan telus membantu mematahkan tanggapan negatif atau salah faham yang sering timbul dalam kalangan masyarakat, sekali gus membina kepercayaan terhadap pemimpin yang menyampaikannya.

Kandungan kisah inspirasi atau motivasi

Kandungan yang bersifat inspirasi atau motivasi juga salah satu cara paling berkesan untuk membina hubungan emosi antara ahli politik dan netizen. Kisah-kisah ini bukan sahaja memberi harapan tetapi juga memperkukuh kepercayaan netizen terhadap pemimpin tersebut. Cerita-cerita inspirasi mampu mencetuskan rasa bangga dan optimis dalam kalangan masyarakat, sekali gus membina imej ahli politik sebagai pemimpin yang cakna dan peduli terhadap permasalahan rakyat.

Sebagai contoh, seorang bekas wakil rakyat pernah berkongsi pengalaman menyantuni seorang anak muda Orang Kurang Upaya (OKU) yang kehilangan pekerjaan akibat penyakit Parkinson. Walaupun tidak lagi memegang jawatan rasmi, beliau tetap berusaha membantu anak muda tersebut untuk meneruskan kehidupan.

Kisah ini bukan sahaja menyentuh hati penonton tetapi turut menggerakkan netizen untuk bersama-sama menyokong anak muda itu melalui bantuan moral, kewangan atau sokongan lain yang diperlukan. Kisah-kisah seperti ini bukan sahaja menarik perhatian netizen tetapi juga menyampaikan mesej penting tentang nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial yang perlu diterapkan dalam setiap lapisan masyarakat.

Kandungan siaran langsung yang santai

Ciri siaran langsung di TikTok adalah salah satu alat paling berkesan untuk mencipta hubungan yang lebih asli dan santai antara ahli politik dan netizen. Kandungan ini membolehkan ahli politik berinteraksi secara langsung dengan netizen dalam masa nyata, menjawab soalan dan menjelaskan isu semasa dengan pendekatan yang lebih mesra tetapi bermakna.

Siaran langsung memberikan peluang kepada ahli politik untuk menunjukkan kesediaan mereka mendengar dan memahami kebimbangan rakyat, serta memberikan respons segera.

Berbanding pertemuan fizikal, siaran langsung mampu menjangkau khalayak yang jauh lebih ramai, meliputi pelbagai lokasi tanpa sekatan geografi. Sebagai contoh, seorang ahli politik boleh mengadakan sesi soal jawab tentang isu-isu seperti kos sara hidup, pendidikan atau perubahan iklim. Dengan pendekatan yang santai, ahli politik boleh membuat netizen berasa lebih dekat dan selesa yang menjadikan perbincangan lebih terbuka dan bermakna.

Kandungan kolaborasi dengan pempengaruh

Kolaborasi dengan pempengaruh (influencer) adalah salah satu strategi efektif untuk ahli politik yang ingin memperluaskan capaian mesej mereka di TikTok. Pempengaruh yang sudah mempunyai pengikut yang ramai dan setia boleh menjadi jambatan untuk memperkenalkan ahli politik kepada khalayak yang lebih luas, terutamanya golongan muda yang aktif di platform ini.

Kandungan kolaborasi yang melibatkan tren semasa seperti cabaran TikTok atau penggunaan lagu popular juga boleh meningkatkan keterlihatan ahli politik dalam kalangan netizen. Sebagai contoh, seorang ahli politik muda negara pernah bekerjasama dengan pempengaruh daripada pelbagai kaum untuk menyampaikan mesej politik yang inklusif dan menekankan kepentingan perpaduan.

Dengan pendekatan ini, ahli politik tersebut berjaya menjangkau sokongan daripada pelbagai segmen masyarakat dan berjaya menonjolkan dirinya sebagai pemimpin yang mendukung nilai kebersamaan serta keterangkuman.

Secara keseluruhannya, TikTok telah membuka ruang baharu dalam komunikasi politik terutamanya dalam mendekati generasi muda yang merupakan pengguna utama platform ini. Namun, keberkesanan penggunaan TikTok bergantung sepenuhnya kepada strategi kandungan yang diterapkan oleh ahli politik.

Pendekatan kandungan yang relevan, kreatif, dan interaktif bukan sahaja mampu menarik perhatian, tetapi juga mengukuhkan hubungan emosi antara pemimpin dan rakyat. Lima strategi yang dibincangkan iaitu kandungan berasaskan teknik penceritaan, kandungan mendidik, cerita-cerita inspirasi atau motivasi, siaran langsung yang santai dan berinteraksi, serta kolaborasi dengan pempengaruh, merupakan langkah-langkah praktikal yang boleh membantu ahli politik memanfaatkan potensi TikTok secara optimum.

Setiap strategi ini tidak hanya memenuhi kehendak generasi muda yang mahukan keterlibatan bersama tetapi juga mampu menyampaikan nilai, dasar, dan aspirasi politik secara berkesan.

Sebagai penutup, ahli politik boleh mencuba pendekatan baharu dan dengan strategi tepat, TikTok boleh menjadi alat membina kepercayaan dan sokongan kukuh dalam kalangan rakyat. Dalam era digital ini, komunikasi politik yang berkesan memerlukan kreativiti, ketelusan dan keaslian yang dapat mengajak netizen untuk turut bersama dalam perjalanan membina negara.

TS SYAMSYUL ANUAR ISMAIL

Ts Syamsyul Anuar Ismail
Pensyarah Kanan Program Teknologi Media
Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC)
Universiti Utara Malaysia (UUM)
E-mel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

#POLITIK

#TikTok

#pengundi

#KOMUNIKASI

#STRATEGI

Sumber : BeritaRTM