All News

Wujudkan media yang lestari, berintegriti

SINTOK, 19 Disember 2024: Media yang lestari dan berintegriti memainkan peranan penting dalam masyarakat dengan menyalurkan maklumat yang tepat, benar dan bebas sekali gus menyumbang kepada pemahaman yang lebih baik terhadap isu global.

Untuk itu, Jabatan Komunikasi Korporat (JKK) dengan kerjasama E-Idaman Sdn. Bhd., Pusat Pengajian Teknologi Multimedia & Komunikasi (SMMTC) dan Pusat Pengujian, Pengukuran & Penilaian (CeTMA) menganjurkan Festival Lestari 2024, di Dewan Seminar SMMTC, UUM, semalam.

les2

Forum ini menampilkan tiga panel iaitu Ketua Pegawai Eksekutif, GYL Media Services Sdn. Bhd., Gan Yong Ling, Pengarah Urusan Nang Surya Group & Editor In-Chief The Malaya Post, Nik Suryani Megat Deraman dan Penolong Pesuruhjaya SPRM Kedah, Syed Aswadi Syed Soffian serta Pengarah, Jabatan Komunikasi Korporat, Dr Azahar Kassim sebagai moderator.

Nik Suryani berkata kelestarian dan integriti dari aspek media merujuk kepada usaha untuk memastikan bahawa media berfungsi secara beretika, dipercayai dan mengekalkan kualiti dalam penyampaian maklumat.

“Integriti media merujuk kepada ketelusan dalam penyampaian maklumat. Media perlu berpegang teguh pada etika untuk melaporkan fakta dengan tepat dan menghindari berita palsu atau manipulasi.

“Berita yang ingin disampaikan mesti benar bersandarkan bukti sebelum disebarkan kepada orang ramai.

“Media perlu mematuhi kod etika yang melibatkan kejujuran, tidak bias, dan menjaga sensitiviti selain memastikan berita yang disampaikan tidak membawa kepada perpecahan,” katanya.

les1

Katanya, pengalaman dalam dunia media seperti TV3 dapat menjana pendapatan pada masa yang sama tidak menjejaskan integriti editorial.

Jelasnya, kelestarian dan integriti media harus dijaga supaya kekal relevan dan memberi impak positif kepada masyarakat. Justeru media perlu terus menyesuaikan diri dengan perubahan dalam teknologi, seperti penggunaan media digital dan media sosial, agar kekal bertahan dan terus relevan.

Media juga perlu mempertimbangkan kesan dari berita yang disiarkan, terutama ketika menyentuh isu sensitif apatah lagi Malaysia terdiri daripada masyarakat berbilang kaum termasuk mengelakkan fitnah, perpecahan atau penyebaran maklumat yang boleh memudaratkan masyarakat. 

Tambahnya, media perlu bebas dan tidak terikat dengan pengaruh politik yang memberi sumbangan yang besar terhadap integriti.

Gan Yong Ling  atau lebih mesra dengan panggilan Abang Gan sering menghasilkan kandungan melalui video untuk berkongsi informasi mengenai dunia automotif di laman PanduLaju. Lebih membanggakan Abang Gan mempelopori Portal berita Bahasa Melayu yang menceritakan tentang kenderaan.

“Apabila masuk dalam bidang ini kepercayaan paling utama, orang percaya kita sebab tu orang tengok video kita, jadi kita kena analisis, semak dan jangan terima bulat-bulat.

“Jadilah pencipta kandungan yang boleh memberi manfaat, fikir dulu kalau buat content begini apa akibatnya namun, apabila tiada integriti sesetengah orang buat content tidak pakai otak, asalkan video meletop tambahan pula dengan adanya dunia AI lagi mencabar integriti media.

“Semua ‘journalist’ berpegang pada etika apa yang kita tulis selagi tidak sahih jangan dihebahkan sebab itu setiap penulisan yang disiarkan anda perlu bertanggungjawab.  Apa-apa kesilapan orang akan cari kita,” ujarnya.

Dr. Azahar berkata, kelestarian merujuk kepada keupayaan industri media untuk terus berkembang dan bertahan dalam menghadapi cabaran global, teknologi baru, dan perubahan sosial.

Katanya pemikiran kelestarian amat diperlukan justeru festival ini menjadi platform untuk memberi kesedaran mengenai kelestarian dan integriti yang perlu dijulang.

 

Sumber : UUMToday