All News

Teknologi pembujukan bantu henti merokok dan vape

Sintok, 10 Disember - Perkembangan meluas teknologi digital pada hari ini telah meningkatkan lagi penggunaannya yang bukan hanya sekadar untuk berhibur, melayari Internet dan sebagainya, tetapi boleh menjadi kuasa pendorong ke arah perubahan tingkah laku pengguna.

Salah satu bidang yang sedang berkembang pesat di seluruh dunia dikenali sebagai teknologi pembujukan, digunakan khusus mengubah tingkah laku terutamanya untuk meningkatkan tahap kesihatan dan lain-lain kegunaan lagi.

vape

Foto: RTM

Menerusi penggunaan teknologi, alat digital dimanfaatkan supaya dapat membantu dan mempengaruhi seseorang membuat keputusan serta mengubah tabiat yang dapat memberi impak positif kepada kesihatan dan sebagainya.

Ringkasnya, teknologi pembujukan ini merujuk kepada penggunaan sistem digital atau aplikasi direka khusus untuk mengubah tingkah laku manusia secara halus tetapi konsisten. Ia dicipta berasaskan prinsip psikologi untuk menggalakkan perubahan positif kepada pengguna bukan sahaja bagi peningkatan tahap kesihatan tetapi juga untuk tujuan pendidikan serta kelestarian alam sekitar.

Antara contoh teknologi pembujukan adalah aplikasi kecergasan yang mengingatkan pengguna untuk berjalan kaki sebagai senaman setiap hari atau aplikasi yang menyuruh pengguna untuk minum air lebih kerap untuk keperluan badan.

Bagi mereka yang berjuang untuk menghentikan tabiat merokok dan vape pula, teknologi pembujukan boleh menjadi salah satu kaedah berimpak bagi mengubah tingkah laku perokok atau pengguna vape.

Ini kerana, aplikasi teknologi pembujukan dapat memberi galakan kepada mereka untuk berhenti merokok atau menghisap vape dan membantu mereka kekal bermotivasi menjalani kehidupan lebih sihat.

Cabaran untuk berhenti merokok dan vape

Seperti diketahui umum, tabiat merokok adalah satu ketagihan yang mengancam nyawa dan berdasarkan statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih daripada 8 juta perokok meninggal dunia setiap tahun disebabkan penggunaan tembakau. Menghisap rokok atau tembakau menyumbang kepada penyakit-penyakit seperti kanser paru-paru, penyakit jantung, batuk kronik, masalah pernafasan dan lain-lain masalah kesihatan.

Walaupun kesedaran tentang bahaya dan risiko merokok ini tinggi dalam kalangan pengguna, ia menjadi satu cabaran yang sangat besar kepada mereka di seluruh dunia untuk menghentikan tabiat berkenaan.
Ketika dunia masih berhadapan dengan ancaman rokok dan tembakau, muncul pula vape atau rokok elektronik. Pada mulanya, vape dianggap sebagai alternatif lebih selamat menggantikan rokok, namun ia kini menjadi isu kesihatan awam yang baharu.

Walaupun sesetengah pihak mendakwa vape boleh membantu perokok menghentikan tabiatnya, kesan jangka panjang vape kepada kesihatan masih belum jelas. Pada hari ini, kajian awal ke atas vape mendapati ia boleh merosakkan paru-paru pengguna, menimbulkan ketagihan kepada nikotin serta risiko kesihatan lain.

Populariti vape dalam kalangan golongan muda dan bukan perokok pula semakin meluas pada masa sekarang. Kebanjiran produk vape termasuk penghasilan pelbagai perisa mudah menarik minat orang muda untuk terjebak dengan gejala ini termasuk yang berusia bawah 18 tahun.

Dalam usaha membantu pengguna berhenti merokok dan menghisap vape, teknologi pembujukan boleh dimanfaatkan kerana ia bukan sahaja menawarkan penyelesaian lebih berkesan dengan memfokuskan kepada faktor psikologi dan sosial untuk mempengaruhi pengguna mengubah tabiat mereka.

Peranan penting teknologi pembujukan

Kemunculan teknologi pembujukan boleh dijadikan salah satu kaedah dalam menangani isu rokok dan vape. Antara kelebihan menggunakan teknologi pembujukan adalah ia mampu memberi maklum balas masa nyata selain menyediakan motivasi berterusan kepada pengguna untuk menggalakkan mereka menghentikan tabiat merokok dan menghisap vape serta menawarkan sokongan sosial. Elemen-elemen ini mempunyai peranan penting bagi mengubah tingkah laku perokok dan pengguna vape dengan lebih mendalam.

Teknologi pembujukan berbeza dengan kaedah intervensi tradisional untuk membantu mengubah tingkah laku. Perbezaan paling ketara adalah intervensi tradisional sangat terhad manakala teknologi digital boleh diakses dan dicapai pengguna sepanjang masa dan tidak terhad kepada lokasi mereka berada.

Selain itu, ia juga menawarkan pendekatan lebih bersifat peribadi dan memahami bahawa setiap perjalanan individu untuk berhenti merokok atau vape adalah berbeza. Misalnya, individu terbabit akan sentiasa diingatkan supaya komited kepada usaha menamatkan tabiat merokok dan vape melalui kata-kata nasihat dan motivasi sesuai dengan keperluan mereka.

Teknologi pembujukan mampu memainkan peranan tersebut kerana ia berupaya melakukan analisis data dan pembelajaran mesin. Ini membolehkan aplikasi memantau dan menjejaki kemajuan pengguna. Contohnya, jika pengguna merasa resah kerana ketagihan, aplikasi akan meningkatkan mesej motivasi atau mencadangkan strategi baharu untuk mengatasi keinginan merokok atau vape.

Kaedah ini juga dapat mewujudkan hubungan sosial dalam kalangan pengguna yang mahu berhenti merokok dan vape. Kajian telah menunjukkan bahawa sokongan rakan sebaya, keluarga dan komuniti dalam talian merupakan satu elemen penting dalam menjayakan misi mengatasi ketagihan rokok dan vape. Aplikasi teknologi pembujukan dapat menghubungkan pengguna dengan kumpulan-kumpulan sokongan terdapat dalam dunia siber dan menjadi satu sistem sokongan kepada mereka untuk berhenti merokok dan vape.

Aplikasi khusus bantu henti merokok dan vape

Pada masa kini, terdapat pelbagai aplikasi dibangunkan khusus menangani isu merokok dan vape menggunakan prinsip teknologi pembujukan. Aplikasi “No-Smoke” misalnya, direka khusus membantu orang ramai untuk berhenti merokok dengan menggabungkan ciri-ciri seperti sokongan sosial, penjejakan, penetapan matlamat dan motivasi bagi membantu pengguna berusaha berhenti merokok.

Pengguna boleh memantau kemajuan harian secara masa nyata seperti mengira jumlah hari tanpa rokok, penjimatan wang dan manfaat kesihatan apabila berhenti merokok. Aplikasi berkenaan juga menyediakan sokongan komuniti apabila pengguna boleh berkongsi pengalaman atau mendapatkan sokongan daripada pengguna lain yang juga sedang berusaha berhenti merokok.

Contoh lain teknologi pembujukan yang diterapkan dalam aplikasi “Quitty” bagi membantu pengguna menghentikan tabiat merokok. Antara lain, aplikasi itu akan menghantar notifikasi khusus untuk memberi motivasi kepada pengguna tepat pada masanya, supaya kekal bersemangat untuk berhenti merokok.

Selain aplikasi, terdapat juga program berasaskan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang digunakan penyelidik untuk membantu pengguna berhenti merokok dan vape. Sistem ini memanfaatkan SMS untuk menghantar mesej teks motivasi dan sokongan berterusan kepada pengguna. Pelbagai saranan dan strategi motivasi dihantar ke telefon pengguna supaya mereka komited dengan keputusan berhenti merokok dan menghisap vape.

Kejayaan dan keberkesanan teknologi pembujukan ini membantu seseorang berhenti merokok atau vape, bergantung kepada strategi pembujukan yang digunakan. Salah satu model paling berpengaruh adalah Model Tingkah Laku Fogg yang berasaskan kepada 3 prinsip iaitu motivasi, keupayaan dan pencetus.

Menerusi model ini, pengguna sentiasa digalakkan untuk terus berusaha manakala aplikasi membantu mempermudahkan proses untuk berhenti rokok dan vape dengan mencadangkan strategi-strategi yang sesuai untuk pengguna. Manakala, setiap mesej berfungsi sebagai pencetus kepada pengguna bagi menguatkan semangat mereka untuk berhenti merokok dan vape.

Pembingkaian mesej juga menjadi aspek yang perlu diberi tumpuan dalam teknologi pembujukan. Kajian membuktikan bahawa cara maklumat disampaikan boleh mempengaruhi tindak balas pengguna. Mesej yang membingkaikan keuntungan atau manfaat boleh mempengaruhi tindak balas pengguna dan dilihat lebih berkesan menggalakkan individu untuk mengubah tabiat berbanding mesej-mesej yang membingkaikan kerugian atau menekankan risiko jika terus merokok. Contohnya, pembingkaian mesej lebih berkesan jika aplikasi pembujukan menyampaikan mesej tentang hasil positif jika berhenti merokok berbanding amaran tentang risiko penyakit kanser paru-paru atau kesan negatif lain jika terus merokok.

Bagi membantu individu yang mahu berhenti menghisap vape pula, pembingkaian moral terbukti lebih berkesan jika mesej mengenai penggunaan vape dibingkaikan sebagai satu aktiviti tidak bermoral dan menggunakan kajian saintifik untukmembuktikan penggunaan vape menjejaskan kesihatan. Dengan kata lain, teknologi pembujukan untuk pengguna vape perlu menerapkan pendekatan moral bagi mendorong mereka berhenti menghisap rokok elektronik.

Teknologi pembujukan sebagai kaedah intervensi

Walaupun teknologi pembujukan dapat memberi impak dan membantu perokok serta pengguna vape untuk menghentikan tabiat itu, ia perlu terus dimantapkan sesuai dengan keperluan pengguna. Aspek yang perlu sentiasa ditambah baik adalah dari segi intervensi kepada pengguna supaya mesej, kata-kata motivasi dan strategi dorongan dapat mengekalkan komitmen mereka untuk berhenti merokok dan vape. Penambahbaikan lain adalah keupayaan teknologi digital itu untuk melakukan analisis tingkah laku pengguna dengan lebih tepat supaya sokongan dan intervensi dibuat tepat pada masanya.

Sistem sokongan sosial yang ditawarkan oleh teknologi pembujukan perlu ditingkatkan agar dapat membantu pengguna rokok dan vape mendapatkan sokongan moral, moral dan emosi yang diperlukan untuk mengubah tabiat mereka.

Cadangan lain ialah memperluas penyelidikan kepada kepelbagaian kumpulan pengguna. Ini kerana, kebanyakan kajian semasa memfokuskan kepada demografi spesifik seperti golongan remaja atau kanak-kanak. Penyelidikan masa hadapan harus merangkumi populasi yang lebih pelbagai bagi memastikan teknologi pembujukan berkesan untuk semua kumpulan umur dan latar belakang budaya.

Akhir sekali, penyelidik perlu memberikan keutamaan kepada penyelidikan bersifat penglibatan jangka panjang. Berhenti merokok atau vape bukanlah satu matlamat jangka pendek tetapi merupakan komitmen sepanjang hayat. Aplikasi dan alat harus direka supaya bertahan untuk kegunaan jangka panjang serta menyediakan sokongan berterusan untuk semua fasa yang ditempuhi mereka yang mahu berhenti merokok dan vape.

Kesimpulannya, teknologi pembujukan telah membuka kemungkinan baharu untuk membantu orang ramai berhenti merokok dan vape. Dengan ciri-ciri seperti mesej peribadi, sokongan sosial dan maklum balas masa nyata, teknologi ini menawarkan jalan kepada perokok dan pengguna vape untuk mengurus ketagihan dan seterusnya berhenti untuk kehidupan yang lebih baik.

PENULIS AENI ZUHANA SAIDIN merupakan Pensyarah Kanan Program Multimedia Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM). Beliau boleh dihubungi melalui e-mel This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

#rokok

#VAPE

#TEKNIK PEMBUJUKAN

Sumber : Berita RTM