All News

Peranan keluarga tangani jenayah pengantunan seksual kanak-kanak

Kemajuan teknologi digital komunikasi pada hari ini telah membawa impak besar kepada kehidupan kita. Pelbagai platform untuk berkomunikasi tersedia kepada pengguna sehingga mewujudkan masyarakat yang saling keterhubungan menerusi teknologi seperti platform bual, pemesejan segera, aplikasi pemesejan, media sosial dan pelbagai platform komunikasi lain.

SEKSUAL GROOMINGnew

Ibu bapa dan penjaga boleh memainkan peranan bagi menangani ancaman dan risiko pengantunan seksual kanak-kanak dengan melaksanakan strategi-strategi ketika anak-anak menggunakan peranti dan melayari Internet/Foto RTM

Dan, sebelum saya melanjutkan penulisan ini, terlebih dahulu ingin saya kongsikan petikan ucapan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika merasmikan “International Conference on Communication and Media” (i-COME’24) kali ke-9 anjuran Program Komunikasi Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini.

“In the digital era, where connectivity and media permeate every aspect of life, well-being must remain central to how we communicate. The digital world offers immense potential for personal and societal growth but also presents risks—such as the erosion of mental health through misinformation, cyberbullying, and the pressures of social media.” (Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, 14 Oktober 2024).

Apa yang disentuh oleh Menteri Komunikasi ini sangat relevan pada masa sekarang. Perkembangan teknologi digital membawa pelbagai peluang kepada individu dan juga komuniti tetapi ia turut membawa ancaman dan risiko yang perlu difahami semua lapisan rakyat. Kemudahan berkomunikasi dalam era digital menuntut kita menjadikan aspek kesejahteraan sebagai asas utama terutama pentingnya melindungi kanak-kanak serta generasi muda daripada pelbagai implikasi negatif teknologi digital ini. Rumusannya, kemudahan komunikasi yang dinikmati pada hari ini seharusnya membawa lebih banyak kesejahteraan berbanding impak buruk kepada masyarakat.

Menyentuh perkara itu, salah satu yang perlu diberi perhatian adalah wujudnya ancaman dan risiko pengantunan seksual kanak-kanak atau sexual grooming. Ia merupakan satu perlakuan pemangsa seksual memanipulasi dan mengeksploitasi kanak-kanak sebagai mangsa seksual mereka. Secara mudahnya, pengantunan seksual ini merujuk kepada langkah awal pemangsa atau penjenayah seksual menjalinkan hubungan dengan kanak-kanak sebelum melakukan serangan seksual terhadap mangsa. Kebanyakan pemangsa seksual yang menyasarkan kanak-kanak ini turut dikenali sebagai pedofilia.

Dengan adanya kemudahan teknologi komunikasi, pemangsa dapat membina hubungan dan mendapat kepercayaan kanak-kanak dengan lebih mudah menggunakan komunikasi dalam talian. Apabila hubungan tersebut telah terbina, pemangsa dengan mudah mendapat peluang untuk melancarkan serangan seksual sama ada secara dalam talian atau luar talian.

Pengantunan seksual oleh individu yang tidak dikenali dalam era digital dan Internet semakin mudah berlaku, ia juga semakin pantas dan mampu merentas sempadan. Ini kerana, kanak-kanak sudah mendapat akses kepada peranti dan gajet pintar pada awal usia. Kajian sebelum ini mendapati, strategi pemilihan mangsa dibuat berdasarkan tiga perkara iaitu kebolehcapaian (accessibility), peluang dan juga kerentanan mangsa.

Berdasarkan kajian saya yang bertajuk “Mengkaji Proses dan Ciri-ciri WeChat dan Kerentanan Golongan Muda Dalam Kes Pengantunan Seksual Dalam Talian” mendapati, ciri-ciri interaktif dan kebebasan untuk berinteraksi dengan orang tidak dikenali dalam aplikasi pemesejan dan media sosial memudahkan pemangsa seksual ini untuk mendekati mangsa tanpa disedari oleh ibu bapa atau penjaga. Perkembangan media sosial juga meletakkan platform seperti Facebook, Instagram dan TikTok sebagai ruang utama pemangsa seksual mencari mangsa-mangsanya secara dalam talian. Penyelidikan itu juga merumuskan bahawa ramai mangsa pengantunan seksual dalam talian terdiri daripada remaja yang mengalami masalah keluarga, mempunyai isu di sekolah dan bersosial menyebabkan mereka lebih mudah dimanipulasi oleh pemangsa seksual.

Oleh itu, ahli keluarga terutama ibu bapa dan penjaga mempunyai peranan penting untuk menangani ancaman dan risiko pengantunan seksual dalam talian ini. Selain menguasai kemahiran keibubapaan digital, ibu bapa atau penjaga digalakkan untuk mendidik anak-anak berkomunikasi secara terbuka tentang apa jua perkara, topik dan pengalaman mereka menggunakan peranti pintar atau melayari Internet. Sebagai orang dewasa, pasti dapat mengesan sebarang isu hasil komunikasi berkenaan terutama jika ada cubaan orang tidak dikenali mendekati anak-anak.

Pemantauan aktiviti dalam talian anak-anak juga perlu dilaksanakan oleh ibu bapa atau penjaga. Selain memeriksa secara manual, pelbagai aplikasi terdapat dalam pasaran yang boleh merekodkan kandungan yang dilayari oleh anak-anak secara dalam talian. Ibu bapa dan penjaga perlu sentiasa memeriksa kandungan mesej-mesej dalam media sosial dan pemesejan dalam talian yang digunakan anak-anak mereka sebagai langkah awal membendung berlakunya pengantunan seksual ini.

Selaras dengan perkembangan teknologi digital, anak-anak dan golongan muda perlu dididik tentang celik digital seperti risiko dalam talian, larangan berkongsi data peribadi dan kanak-kanak perlu diajar untuk melayan rakan-rakan dalam talian sebagai orang asing. Dengan cara pendidikan celik digital ini, kanak-kanak akan lebih memahami tentang adanya penjenayah seksual yang cuba melakukan pengantunan seksual.

Ibu bapa dan penjaga merupakan individu paling rapat dengan anak-anak dan mereka hendaklah menjadi benteng utama dalam menangani ancaman pelaku pengantunan seksual ini. Mereka perlu peka terhadap sebarang perubahan tingkah laku untuk mengesan sama ada anak-anak telah dihubungi oleh pemangsa seksual ini. Ini kerana, berdasarkan banyak kajian, kanak-kanak yang menjadi mangsa pengantunan seksual mula menjadi perahsia tentang aktiviti dalam talian mereka selain berlaku peningkatan masa dalam talian. Jika mereka mula menerima hadiah-hadiah yang tidak boleh dijelaskan turut menjadi petunjuk bahawa mereka mula menjadi sasaran pemangsa seksual dan sedang dimanipulasi.

Strategi lain yang boleh dilaksanakan adalah menetapkan peraturan di dalam rumah tentang penggunaan peranti dan gajet pintar di kawasan terbuka. Dengan kaedah ini, pemantauan dapat dibuat dengan lebih mudah oleh orang dewasa. Kanak-kanak boleh diajar tentang tingkah laku dalam talian yang sihat seperti melaporkan sebarang interaksi yang tidak menyenangkan kepada orang dewasa terdekat dengan mereka. Ibu bapa dan penjaga perlu mempunyai pengetahuan tentang aplikasi dan platform dalam talian yang digunakan anak-anak. Mereka perlu faham tentang aplikasi-aplikasi popular dalam kalangan pemangsa seksual ini seperti Snapchat dan lain-lainnya. Akses kepada penyelidikan-penyelidikan bukan sahaja dalam negara tetapi luar negara juga lebih mudah menggunakan Internet dan ini boleh menjadi sumber rujukan kepada ibu bapa serta penjaga untuk mengenal pasti platform yang sering digunakan untuk tujuan pengantunan seksual.

Langkah akhir adalah membuat laporan kepada pihak berkuasa jika terdapat aktiviti meragukan yang mungkinan berkaitan pengantunan seksual. Di Malaysia, pengantunan seksual sangat diberi perhatian oleh kerajaan menerusi pewartaan Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang secara khusus melarang sebarang perbuatan pengantunan seksual. Kerajaan turut mewujudkan Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-kanak yang dirasmikan pada 22 Jun 2017 bagi menangani jenayah ini.

Namun, langkah pencegahan perlu dipikul bersama oleh keluarga terutama ibu bapa serta penjaga kanak-kanak. Ancaman pengantunan seksual akan terus berlaku seiring perkembangan teknologi komunikasi yang menjadi semakin canggih. Tidak boleh tidak, kemahiran keibubapaan digital perlu dikuasai oleh orang dewasa terutama ibu bapa dan penjaga untuk memastikan kanak-kanak serta remaja tidak menjadi mangsa pengantunan seksual ini.

PENULIS DR. NORHAYATI MOHAMAD HUSSAIN merupakan Pensyarah Kanan Program Komunikasi Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) Universiti Utara Malaysia (UUM) dan boleh dihubungi di This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

#Kanak-Kanak

#UUM

#SEKSUAL

#PENGATUNAN

Sumber : RTM