All News

Amalan motivasi dalam keluarga bantu hindari masalah penagihan dadah

SINTOK, 5 Oktober - Hasil kajian penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) mendapati, faktor motivasi yang diamalkan di dalam sesebuah keluarga boleh menjadi langkah awal ke arah menghindari ahli keluarga daripada dipengaruhi gejala dadah.

Ketua Penyelidik Geran Khas UUM, Prof. Madya Dr. Azlina Kamaruddin berkata, motivasi yang disalurkan melalui kata-kata semangat dan membina mempunyai tarikan kuat untuk mempengaruhi sikap seseorang individu menjadi lebih positif.

newsMotivasi

Amalan motivasi dalan keluarga boleh dijadikan strategi awal untuk bentuk sikap positif menghindari gejala dadah/Foto hiasan RTM

“Hasil kajian kami mendapati, faktor motivasi yang diamalkan di dalam sesebuah keluarga mampu menjadi pendorong kepada orang muda untuk menjauhi dadah. Ia boleh dijadikan strategi awal untuk mencegah pengambilan dadah dalam kalangan ahli keluarga.

Kaedah ini juga boleh dipraktikkan di pusat-pusat pemulihan dadah bagi mendorong penagih berubah sikap untuk menjauhi dadah.

“Selain itu, sokongan berterusan dan dorongan motivasi juga perlu diberi kepada penagih dadah yang menyertai semula masyarakat selepas menamatkan rawatan pemulihan sekaligus dapat mengikis stigma masyarakat terhadap bekas penagih dadah.

"Dengan cara ini, mereka lebih positif untuk memulakan kehidupan baharu di dalam komuniti,” jelas Dr. Azlina yang juga Pensyarah Komunikasi Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) UUM.

Menurutnya, rumusan kajian bertajuk “Analisis Komunikasi Pemujukan dan Partisipasi Belia Dalam Institusi Keluarga” itu adalah hasil temu bual dengan keluarga dari Kedah dan Perlis yang mempunyai ahli keluarga terbabit dengan masalah penagihan dadah, dan kesemuanya bersetuju bahawa langkah awal di peringkat keluarga dapat menghindari ahli keluarga terjebak dengan dadah.

“Disebabkan penemuan itu, kami melihat amalan motivasi di peringkat keluarga ini, mampu mendorong ahli keluarga untuk mengelak daripada mencuba dadah.

Hasil temu bual itu turut mendapati, mereka kesal kerana tidak membendung masalah di peringkat awal sehinggalah ada ahli keluarga terlibat dengan dadah.

"Setiap ahli keluarga perlu peka dalam mengenalpasti gejala penyalahgunaan dadah ini. Apabila mereka mengenalpasti ada ahli keluarga telah terlibat dengan dadah, usaha awal dapat dilakukan seperti memberi rawatan dan sebagainya.

"Ia dapat mengelak daripada pengguna dadah mengalami ketagihan kronik sehingga menyebabkan tingkah laku tidak dapat dijangka dan sukar dikawal.Kesihatan mereka yang terlibat dengan penagihan dadah juga menjadi tidak menentu, sering kecewa dan marah.

"Mereka cenderung melepaskan kemarahan kepada orang yang paling rapat dengan mereka terutama ahli keluarga. Salah satu kesan paling mendalam adalah peningkatan risiko penderaan atau keganasan sama ada penderaan emosi, fizikal atau seksual, ” menurut Dr. Azlina.

Jelas beliau lagi, kekuatan kata-kata motivasi dan penglibatan optimum dalam kalangan ahli keluarga dapat membantu membendung masalah penyalahgunaan dadah daripada berterusan.

Menurut Dr. Azlina, kajian berkenaan bermatlamat membantu meningkatkan kesedaran dan pencerahan kepada masyarakat dengan memberi penekanan kepada peranan keluarga untuk mengelak berlakunya masalah sosial menerusi gagasan “Rumahku, Syurgaku”.

Selain isu penagihan dadah, kajian turut mengenalpasti individu yang mengalami masalah mental cenderung memilih platform media sosial untuk berkongsi pengalaman berkaitan masalah mereka.

Perhubungan sosial ini didapati dapat membantu mereka mendapatkan sokongan atau mereka sendiri memberi sokongan kepada pesakit mental lain.

#UUM

#MOTIVASI

#PENAGIHAN DADAH

Sumber: BeritaRTM