UUM ONLINE: Komunikasi memainkan peranan penting dalam menguruskan perubahan dalam organisasi dan memudahkan kejayaan.
Profesor di Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Norhafezah Yusof, telah memperkenalkan konsep “My Way,” di mana “My” merujuk kepada Malaysia. Ini menterjemahkan cara Malaysia memahami bagaimana proses perubahan dilaksanakan dalam konteks budaya dan agama di Malaysia, dilihat dari perspektif komunikasi.
Setiap organisasi perlu melakukan perubahan untuk meningkatkan kecekapan, kemajuan, dan prestasi kerja. Menurut beliau, perubahan tidak semestinya diterima oleh semua pihak, walaupun secara rasional setiap perubahan bertujuan memperbaiki kekurangan yang ada.
“Memang, perubahan bukanlah perkara mudah, tetapi ia bukan mustahil untuk dilaksanakan dengan komunikasi strategik,” katanya.
Dalam proses perubahan, cabaran seperti mengubah ‘mindset’ kakitangan sering dihadapi, tetapi semua itu boleh diatasi melalui elemen komunikasi.
“Sebelum melaksanakan perubahan, maklumkan dengan baik kepada staf agar mereka bersedia untuk berubah,” tambahnya.
“Perubahan mesti bermula dari pengurusan tertinggi kerana mereka mempunyai aspirasi dan kesiapsiagaan untuk berubah, menjadikan proses transformasi lebih mudah,” ujarnya pada Syarahan Pengukuhan Profesor 2024 Siri 8 bertajuk ‘My Way: Communicate to Change’ yang berlangsung di Dewan Seminar, SMMTC, semalam.
Beliau menekankan bahawa pihak pengurusan perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dan harus peka kepada kepentingan pemegang taruh ketika menyampaikan maklumat bagi memastikan keselamatan dan keberkesanan dalam penyampaian maklumat.
Norhafezah juga mengulas perjalanan penyelidikan selama 20 tahun di UUM, termasuk perubahan dalam pengurusan komunikasi di Malaysia.
Ketika organisasi bergelut untuk menyesuaikan diri dengan perubahan, beliau memberikan bukti empirikal tentang bagaimana perubahan telah berkembang dalam konteks budaya, agama, dan sosial negara.
Menyedari bahawa perubahan adalah fenomena dinamik, beliau menekankan kepentingan pemimpin mengambil kira pandangan pemegang taruh dalam menentukan cara terbaik untuk melaksanakan perubahan di setiap peringkat organisasi.
Beliau juga menerangkan perspektif komunikasi strategik mengenai bagaimana perubahan dapat diterima oleh pemegang taruh yang disasarkan dalam organisasi.
Dalam perjalanan akademiknya, Norhafezah telah menjalankan kajian dan menulis buku bertajuk Cyberjaya: Space and Sociality, yang memperihalkan kepentingan kepimpinan dan keperluan memahami pemegang taruh dalam melaksanakan agenda pembangunan bandar pintar pertama di Malaysia, Cyberjaya. Pelbagai kajian yang dijalankan oleh beliau menjurus kepada kepentingan peranan perancangan strategi komunikasi yang berkesan dalam membangunkan aspirasi dan pelaksanaaan sesebuah projek dan komuniti.
Secara tuntasnya, faktor pencetus kepada kejayaan sesebuah organisasi dalam menghadapi perubahan ialah kepimpinan yang bervisi, keprihatinan terhadap keperluan pemegang taruh, pembudayaan elemen empati terhadap staf dan pemahaman yang tinggi mengenai budaya kolektivisme yang mempengaruhi pemikiran dan budaya kerja masyarakat Malaysia.
Sebelum itu, Pengerusi Majlis Profesor UUM, Prof. Dr. Rosna Awang Hashim, menyampaikan biodata dan pengenalan profesor.
Program syarahan ini merupakan inisiatif khusus yang dianjurkan untuk menonjolkan ketokohan ahli akademik yang dilantik sebagai profesor di UUM. Selain itu, ia juga menjadi platform untuk menyebarluaskan ilmu pengetahuan, kepakaran, dan penemuan inovatif oleh profesor UUM kepada masyarakat umum sebagai bukti ketokohan akademik.
Sumber : UUMToday