UUM ONLINE: Profesor Adjung Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) Universiti Utara Malaysia (UUM), Datuk Izelan Basar menggariskan tujuh strategi supaya mahasiswa komunikasi dan media dapat menguasai lanskap industri pada masa hadapan. Sesi syarahan ini dijalankan pada 2 Julai 2024 (Selasa). Menurut beliau, dunia komunikasi dan media sedang mengalami perubahan yang sangat drastik disebabkan kemunculan pelbagai teknologi terutama bidang Kecerdasan Buatan (AI) yang semakin berkembang pesat masa kini.
Datuk Izelan yang berucap sempena Seminar Kajian Media (OSEM 2024) dengan tajuk “Cabaran, Trend dan Inovasi” di SMMTC berkata, strategi tersebut perlu dikuasai oleh mahasiswa untuk mereka kekal relevan dengan mengikuti arus perkembangan dan seterusnya, mencorak lanskap industri media tempatan.
Strategi pertama yang dicadangkan adalah mahasiswa komunikasi dan media untuk menguasai teknologi seperti perisian suntingan video, memahami platform-platform analisa data dan memanfaatkan alat-alat digital berkaitan pengurusan media sosial. Seterusnya, mahasiswa perlu mempunyai kemahiran berfikir secara kritikal supaya mereka dapat menganalisa maklumat, mengenal pasti kandungan berat sebelah serta menjadi generasi yang membanteras maklumat salah.
Strategi seterusnya menuntut mahasiswa untuk menguasai pelbagai platform untuk menyebarkan naratif, maklumat dan kandungan. Mahasiswa perlu menguasai teknik penyampaian media tradisional, platform dalam talian dan format-format seperti realiti terimbuh (AR) dan realiti maya (VR). Mahasiswa juga diingatkan supaya sentiasa mengasah kreativiti dan meningkatkan inovasi serta berani mencuba format dan teknologi baharu dalam penghasilan kandungan kreatif mereka.
Pembinaan rangkaian yang luas dapat menjadi strategi berkesan untuk mahasiswa menguasai industri media pada masa hadapan. Mereka diingatkan supaya sentiasa membina hubungan dengan pakar-pakar industri, menghadiri bengkel dan mencipta portfolio untuk memasarkan kemahiran. Strategi seterusnya adalah keperluan mahasiswa meneroka lanskap baharu media melangkaui media sedia ada seperti televisyen dan sebagainya. Mahasiswa boleh meneroka peluang-peluang bagi penghasilan kandungan menerusi platform dalam talian, komunikasi korporat dan fail media digital atau podcast.
Dan, strategi terakhir yang dicadangkan Datuk Izelan adalah, sentiasa berpegang kepada konsep pembelajaran sepanjang hayat. Mahasiswa tidak boleh berada di dalam zon selesa dan mereka perlu meneroka ilmu-ilmu baharu untuk berkembang selari dengan arus pembangunan teknologi komunikasi dan media pada hari ini. Menurut beliau lagi, strategi-strategi ini dicadangkan kerana berlaku perubahan trend di dalam media seperti meningkatnya pasaran terhadap kandungan atas permintaan serta personalisasi.
Selain itu, kemunculan teknologi VR dan AR juga mengubah teknik penceritaan di dalam media menjadi lebih interaktif turut mengubah lanskap media pada hari ini dan pada masa sama, memberi peluang baharu kepada generasi pengamal media pada masa hadapan. Peningkatan kandungan mikro turut memberi impak kepada strategi mahasiswa komunikasi dan media kerana mereka perlu menguasai teknik penghasilan kandungan yang lebih padat dan pendek dari segi durasi.
Keterlibatan komuniti dan meningkatnya populariti kewartawanan awam turut membawa perubahan kepada lanskap media apabila media sosial telah mengembangkan kewartawanan awam sekaligus mencipta bidang media yang lebih bebas dan pelbagai serta menggalakkan keterlibatan masyarakat. Menutup syarahan beliau, Datuk Izelan meminta mahasiswa dan pengamal media untuk bekerjasama mewujudkan satu industri media yang sihat dan menyalurkan maklumat berguna untuk dimanfaatkan oleh masyarakat.
Disediakan Oleh:
Dr. Aselawati Che Ab. Adziz, Pengerusi Program Teknologi Media, SMMTC
Encik Khairul Anuar Abdul Malik, Felo SMMTC
Sumber : smmtcNews