Setiap universiti di seluruh dunia ini pasti mempunyai tenaga akademik yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu. Kepakaran yang dimiliki dalam pelbagai bidang ini dapat menjadi platform sempurna untuk jalinan kerjasama baik sesama universiti, industri mahupun pelbagai agensi.
Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM) tidak ketinggalan mempunyai pakar penyelidik dalam pelbagai bidang. Di SMMTC, terdapat penyelidik yang pakar bukan saja dalam penyelidikan malah mampu mengaplikasikan kepakaran yang dimiliki serta hasil penyelidikan mereka untuk dimanfaatkan semua pihak seperti industri dan masyarakat.
Di SMMTC, terdapat tiga unit yang menjalankan penyelidikan iaitu Advanced Communication Research Unit (ACRU), Civic Media Research Unit (CMRU), dan Multimedia Innovation and Digital Humanities (MIDH). Untuk memastikan penyelidikan berjalan dengan lancar dan teratur, pusat pengajian telah menubuhkan unit-unit ini.
Menurut Prof. Madya Dr. Syarizan yang memegang jawatan sebagai ketua unit bagi Advanced Communication Research Unit (ACRU), ACRU ditubuhkan bertujuan untuk meningkatkan lagi penyelidikan pusat pengajian, inovasi, dan komersialan dengan tujuan supaya boleh membantu lagi merancakkan pusat pengajian sebagai pusat kecemerlangan terutama dalam bidang komunikasi. Selain menjawat jawatan sebagai ketua unit ACRU, beliau juga merupakan salah seorang pensyarah dari program Komunikasi yang mempunyai kepakaran dalam bidang Komunikasi antara Budaya.
Beliau yang pakar dalam komunikasi antara budaya telah memberi banyak sumbangan kepada masyarakat dan universiti. Perkara ini dibuktikan apabila pelajar didikan beliau sendiri di bawah subjek Komunikasi Antara Budaya memaklumkan bahawa dia mempunyai pandangan yang berbeza terhadap pelajar antarabangsa di UUM setelah mempelajari subjek tersebut. Hal ini menunjukkan bahawa Prof. Madya Dr. Syalizan mempunyai kepakaran sehingga dapat mengubah persepsi negatif pelajar Malaysia terhadap pelajar antarabangsa.
“Saya pernah menerima komen daripada pelajar saya. Pelajar tersebut menceritakan bahawa sebelum dia mengambil kursus ini, dia tidak pernah mengambil berat mengenai pelajar antarabangsa. Bagaimana perjuangan mereka di UUM, kejutan budaya serta adat di sini. Tetapi setelah pelajar mengambil kursus tersebut, dia lebih memahami mengenai pelajar antarabangsa tersebut dan lebih memahami bagaimana budaya mereka”, kata Prof. Madya Dr. Syalizan.
Di samping menjadi tenaga pelajar, Prof. Madya Dr. Syalizan turut menjalankan beberapa penyelidikan berkaitan budaya. Antara kajian beliau yang terkini adalah mengenai pekerja asing. Kajian beliau memfokuskan bagaimana pekerja asing dapat menyesuaikan diri dengan budaya di Malaysia, apakah cabarannya, dan bagaimana hasrat pekerja asing tersebut untuk mennyesuaikan diri dengan budaya di Malaysia.
Tambah Prof. Madya Dr. Syalizan, beliau juga berharap kajiannya itu dapat membantu agensi tertentu untuk memberi pendedahan kepada pekerja asing mengenai perkara yang boleh dan tidak patut dilakukan di Malaysia. Kepakaran yang diperoleh oleh beliau bukan sahaja memberi sumbangan kepada pelajar dan masyarakat, malah kepada universiti.
Selain itu, beliau berjaya mendapatkan geran penyelikan dari Kementerian Pendidikan Malaysia bagi kajian mengenai Kecekapan Antara Budaya di Kalangan Pelajar. Ini memberikan sedikit sebanyak sumbangan kepada universiti dari sudut kewangan. Kepakaran beliau dalam Komunikasi antara Budaya tersebut juga dapat menarik minat bukan sahaja pelajar tempatan, malah pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pelajaran ke UUM memandangkan pelajar akan mencari seseorang yang pakar dalam sesuatu bidang yang mereka minati untuk belajar.
Selain ACRU, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi turut menubuhkan Multimedia Innovation and Digital Humanities (MIDH) bagi memastikan setiap penyelidikan yang dilakukan dapat berjalan dengan lancar. MIDH dijadikan sebagai platform untuk ahli MIDH untuk membincangkan mengenai program penyelidikan, inovasi penyelidikan, dan perkara yang dapat memberi sumbangan kepda masyarakat sama ada dalam bentuk penerbitan, inovasi, pemindahan ilmu serta pembangunan kemahiran.
Salah seorang pakar penyelidik di MIDH ialah Prof Madya Ts. Dr. Ariffin. Beliau yang mahir dalam bidang Human Computer Interaction dan User Experience telah menghasilkan banyak penyelidikan. Dan kebanyakan kajian beliau adalah mengenai pengajaran dan pembelajaran di pelbagai peringkat.
Menurut Prof Madya Ts. Dr. Ariffin, kebanyakan kajian beliau dilakukan bersama pelajar PhD. Terdapat pelajar beliau telah mereka bentuk bahan pembelajaran untuk pelajar pekak, pelajar rabun teruk, dan bahan pembelajaran untuk pelajar yang lambat belajar. Menggunakan kepakaran yang ada, Prof Madya Ts. Dr. Ariffin bersama pelajarnya telah mengkaji orang yang menghadapi masalah tersebut, kesusahan dan kelemahan mereka bagi menghasilkan bahan bantu mengajar yang sesuai dengan masalah dihadapi.
Di samping itu, dengan kepakaran yang ada tentang alatan-alatan komputer, beliau bersama ahli MIDH yang lain telah dijemput oleh masyarakat untuk menjadi tenaga pakar bagi sesuatu kursus. Mereka juga turut menjalankan pelbagai program seperti latihan Artificial Intelligence (AI) dan bengkel-bengkel inovasi kepada masyarakat. Selain itu juga, kepakaran beliau ini turut membantu universiti dari sudut kewangan iaitu geran yang diperolehi dari hasil penyelidikan yang telah dilakukan.
“Saya di MIDH amat menggalakkan rakan-rakan menggunakan kepakaran yang kita ada dan sebarkan ke masyarakat. Sekarang bukan masa untuk kita pendamkan kepakaran itu dan duduk di dalam UUM sahaja, tetapi sebarkan kepada masyarakat untuk bersama-sama memperoleh manfaat”, tambahnya lagi.
Seterusnya, ketua unit bagi Civic Media Research Unit (CMRU) Prof. Madya Dr. Norsiah, beliau mempunyai kepakaran dalam bidang media baru. Kebanyakan kajian beliau adalah berkaitan dengan media baru. Kajian beliau melihat bagaimana penggunaan teknologi masa kini ini mampu memberi kesan kepada masyarakat malaysia terutamanya kepada wanita. Antara salah satu kajian mengenai penggunaan media sosial dalam kalangan suri rumah di Malaysia.
Kajian itu memperlihatkan bagaimana kepakaran beliau di dalam bidang teknologi baru dapat dimanfaatkan untuk melihat bagaimana suri rumah ini dapat menggunakan sosial media untuk kebaikan diri sendiri mahupun keluarga.
“Menerusi penyelidikan ini, kita dapat mengetahui dan memahami secara terperinci bagaimana suri rumah arif mengenai manfaat dan keburukan sosial media kepada diri mereka sendiri dan keluarga serta mengetahui bagaimana untuk mengawal penggunaan sosial media bagi anak-anak. Terdapat juga suri rumah menggunakan sosial media untuk menjana pendapatan dengan menjual minuman,” kata Prof. Madya Dr. Norsiah.
Penyelidikan yang dilakukan memberi kesan yang mendalam kepada universiti apabila terdapat kajian yang beliau lakukan mengenai Keibubapaan Digital dan Daya Tahan Digital telah diterbitkan dalam bentuk jurnal. Selain itu, beliau juga telah dijemput oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Perlis bagi menyampaikan ceramah kepada masyarakat yang bertajuk kesan media kepada kanak-kanak.
Kepakaran para penyelidik ini bukan sahaja memberi sumbangan kepada universiti, malah kepada kepada komuniti dan negara. Semoga dengan hasil penyelikan ini dapat memecahkan masalah kompleks yang berlaku pada masa kini.
Sumber : SMMTCNews