Program Hijau Taman Herba dan Kitar Semula di Sekolah Kebangsaan Felda Batu 8 Changlun yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) Universiti Utara Malaysia (UUM), memberi pendedahan mengenai alam sekitar dan kitar semula serta meningkatkan nilai dan amalan melaksanakan kitar semula.
Ismail bin Awang, seorang penceramah jemputan bagi program tersebut telah memberi pendedahan tentang cara yang betul menukarkan tayar terpakai menjadi hiasan. Beliau turut memberikan langkah keselamatan ketika memotong dan mengecat tayar sambil menunjukkan demo cara memotong tayar terpakai dengan betul bagi menghasilkan sebuah hiasan. Selain itu, beliau turut mengajar kepada peserta program ini cara untuk membuang air yang bertakung dalam tayar dengan kaedah yang betul.
“Untuk memotong tayar, kita perlulah menggunakan pisau yang tajam dan pastikan mata pisau tidak menghala ke badan serta potong tayar tersebut secara perlahan-lahan. Hal ini kerana saya pernah buat bersama budak-budak dan ada yang mengalami luka di tangan” katanya.
Selain daripada ceramah kitar semula tayar terpakai, peserta diberi peluang untuk menjalankan latihan praktikal pemotongan dan menghias tayar menjadi sebuah hiasan pokok bunga serta aktiviti penanaman pokok herba seperti pokok Lemon dan pokok Bidara.
Program Hijau Taman Herba dan Kitar Semula turut memperlihatkan bagaimana pelajar dari Indonesia iaitu para pelajar dari Universitas Mataram dan Universitas Pancasila sangat kreatif dalam pembikinan tayar sebagai perhiasan apabila mereka menggunakan daun-daun, rumput, dan bulu tangkis untuk mencorakkan tayar tersebut.
Menurut Aulia Nadya Prameswari, dari Universitas Pancasila, Indonesia dan merupakan peserta bagi program ini memaklumkan bahawa dia mempelajari banyak ilmu dan memperoleh pengalaman yang baru. Program tanam pokok herba dan kitar semula ini sangat bermakna baginya.
“Dari Program Hijau Taman Herba dan Kitar Semula, saya belajar bahawa kita dapat mengubah sesuatu yang pada awalnya mungkin membahayakan bagi masyarakat, tetapi kita boleh mengubahnya menjadi sesuatu yang berguna dan bermanfaat bagi diri dan masyarakat seperti kitar semula tayar menjadi hiasan pokok,” tambahnya lagi.
Program ini juga memperlihatkan bagaimana kreatif rakyat Indonesia dalam memanfaatkan barang terpakai dan barang sedia ada apabila peserta Indonesia dari program ini menggunakan bulu tangkis sebagai ganti kepada berus untuk mengecat tayar, dan menggunakan daun-daun untuk mencorakkan tayar tersebut .
“Kebanyakan rakyat Indonesia memang suka kesenian. Sejak dari sekolah rendah, kami sudah terbiasa mendapatkan tugasan berkaitan seni seperti menggunakan krayon, melukis dan doodling. Jadi saya rasa, kami sudah terbiasa menggunakan alat-alat seperti itu”, kata Aulia Nadya Prameswari.
Perkara ini mengimbas kembali ketika wabak COVID-19 melanda di Indonesia suatu ketika dahulu, penduduk kampung dan saintis Indonesia telah mencipta robot buatan sendiri menggunakan himpunan barangan elektrik seperti periuk, kuali dan monitor televisyen lama sehingga berjaya menghasilkan robot yang diberi nama 'robot Delta', sempena varian koronavirus yang sangat mudah menular di Indonesia ketika itu.
Pelajar dari Indonesia yang menggunakan barang terpakai untuk menghias tayar telah memperluas pandangan pelajar Malaysia terhadap kreativiti dan inovasi. Mereka menunjukkan bahwa benda-benda yang sering dianggap tidak berguna dapat diubah menjadi sesuatu yang menarik dan berguna, mendorong pelajar Malaysia untuk berfikir lebih luas dalam menciptakan solusi yang baru dan berbeza.
Sumber : SMMTCNews