QS World University Rankings ialah penerbitan tahunan kedudukan universiti yang dijalankan oleh Quacquarelli Symonds (QS). Bagi mencapai kedudukan dalam QS World University Rankings ini, sesuatu program itu perlulah memenuhi empat kriteria utama iaitu reputasi akademik, reputasi majikan, sitasi per penerbitan, dan H-Index.
Beberapa subjek di bawah Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) telah berjaya memenuhi kriteria tersebut sehingga berjaya mendapat kedudukan dalam QS World University Ranking (QSWUR) by Subjects 2023 dan telah mendapat kedudukan yang lebih baik dalam QS World University Ranking (QSWUR) by Subjects 2024.
Subjek Komunikasi dan Pengajian Media (Communication and Media Studies), Universiti Utara Malaysia (UUM) buat pertama kalinya berjaya tersenarai dalam QS World University Ranking (QSWUR) by Subjects 2023. Subjek di bawah Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) itu telah tersenarai pada kedudukan 201-250 sekali gus meletakkan universiti tersebut sebaris dengan universiti terbaik di dunia.
Di samping itu juga, turut menggembirakan seluruh kakitangan SMMTC apabila subjek Sains Sosial dan Pengurusan (Social Sciences and Management) telah berjaya mendapat kedudukan 223 dalam QS World University Ranking (QSWUR) by Subjects 2024, lebih baik pada tahun lalu iaitu berada pada kedudukan 266 telah membuktikan bahawa program pengajian yang ditawarkan oleh SMMTC itu adalah sangat berkualiti.
Salah satu pencapaian lain Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi adalah apabila subjek Sains Komputer dan Sistem Maklumat (Computer Sciences and Information Systems) turut memperoleh peningkatan dalam kedudukan QS World University Ranking (QSWUR) by Subjects 2024 iaitu mendapat kedudukan 551-600 lebih baik dari sebelumnya iaitu 601-650.
Penyenaraian di dalam ranking dunia ini membuktikan kualiti program-program di SMMTC dan ia menjadi salah satu tarikan bukan sahaja kepada pelajar tempatan tetapi pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pelajar di pusat pengajian ini.
Menurut Dekan SMMTC, Profesor Madya Dr. Mohd Khairie Ahmad, QS World Universiti Rangkings ini menjadi penanda aras atau kayu ukur oleh pelajar antarabangsa dalam membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran di UUM atau dalam program-program yang ditawarkan oleh pusat pengajian.
“Bagi pelajar tempatan, sebahagian dari kos pengajian itu telah disubsidikan oleh kerajaan. Tetapi bagi pelajar antarabangsa, mereka dikenakan bayaran sepenuhnya. Oleh itu, mereka menginginkan sesuatu pendidikan yang berkualiti serta sijil atau ijazah yang diperoleh dari universiti yang mendapat kedudukan bertaraf dunia akan menjamin peluang kerjaya pada masa hadapan”, tambah beliau lagi.
Berdasarkan kepada markah yang diperolehi menurut laman web QS World University Rankings by Subject 2023, markah untuk subjek Komunikasi dan Pengajian Media dari segi reputasi akademik adalah 60.9%, reputasi majikan adalah 60%, sitasi per penerbitan 78.7% dan H-Index 69%.
Manakala edisi 2024 QS World University Rankings bagi subjek Sains Sosial dan Pengurusan, markah reputasi akademik yang diperolehi adalah 73.7%, reputasi majikan adalah 52.8%, sitasi per penerbitan 77.6% dan H-Index 72.9%. Seterusnya, bagi subjek Sains Komputer dan Sistem Maklumat, markah reputasi akademik yang diperolehi adalah 53.2%, reputasi majikan adalah 49.3%, sitasi per penerbitan 49.9% dan H-Index 72.9%.
Seterusnya, kecemerlangan akademik di SMMTC ini menarik minat pelajar dari pelbagai negara untuk melanjutkan pengajian di pusat pengajian ini. Bagi program lepasan ijazah, bilangan pelajar dari China merupakan yang tertinggi di pusat pengajian ini, diikuti oleh pelajar dari Indonesia dan Jordan. Bilangan yang tinggi dari pelajar antarabangsa menunjukkan populariti dan reputasi institusi ini di peringkat antarabangsa. Lebih menarik lagi, bilangan pelajar antarabangsa ini melebihi bilangan pelajar tempatan, mencerminkan daya tarikan yang besar dan kualiti pendidikan yang disediakan oleh pusat pengajian ini kepada pelajar dari pelbagai negara.
Di samping itu, pelajar dari Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian paling ramai berasal dari negeri Kedah, diikuti oleh negeri Perak dan Selangor. Manakala untuk Sarjana Muda Teknologi Media dengan Kepujian, pelajar datang dari negeri Perak, Perlis, dan Selangor. Bagi Sarjana Muda Sains (Multimedia) dengan Kepujian pula, kebanyakan pelajar berasal dari negeri Perak, diikuti oleh negeri Kedah dan Pulau Pinang.
Selain itu, bagi pelajar antarabangsa dalam program Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian, terdapat 18 orang pelajar dari Indonesia. Manakala dalam program Sarjana Muda Teknologi Media dengan Kepujian, terdapat 7 orang dari Indonesia, 3 orang dari China, dan 1 orang dari Thailand. Sementara itu, dalam program Sarjana Muda Sains (Multimedia) dengan Kepujian, terdapat 7 orang pelajar dari Selangor, 2 orang dari Brunei, dan 1 orang dari China.
Kesimpulannya, pengiktirafan subjek di bawah SMMTC di peringkat QS World University Ranking (QSWUR) by Subjects menjadi bukti kualitinya subjek-subjek yang ditawarkan kepada para pelajar di pusat pengajian ini. Penyenaraian di dalam ranking dunia ini juga telah menarik minat pelajar tempatan mahupun antarabangsa untuk melanjutkan pelajaran di UUM, khususnya Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi. Oleh itu, semua pihak perlulah berusaha agar dapat terus kekal dalam kedudukan ini.
Sumber : SMMTCNews