All News

OSEM 2024 MEMBERI RUANG KEPADA PELAJAR MELATIH DIRI UNTUK BERKOMUNIKASI DI HADAPAN KHALAYAK DAN LEBIH BERFIKIRAN TERBUKA

Dalam era pendidikan yang semakin moden ini, penting bagi pihak universiti untuk tidak hanya memberikan pengetahuan akademik kepada pelajar tetapi juga membekalkan mereka dengan kemahiran praktikal yang penting untuk kehidupan selepas pembelajaran di universiti.

Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) telah menganjurkan program  Seminar Kajian Media atau OSEM 2024 bagi pelajar tahun akhir Sarjana Muda Teknologi Media untuk membentangkan projek mereka. Melalui program ini, pelajar akan menerima maklum balas daripada pakar  yang terdiri daripada pengulas jemputan termasuk pakar industri yang bereputasi, alumni yang terkenal dan pensyarah di samping dapat meningkatkan kemahiran komunikasi pelajar dan kemahiran menyelesaikan masalah.

Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Prof Madya Dr. Mohd. Khairie Ahmad berkata, kegiatan membentangkan makalah-makalah ilmiah serta membicarakannya kepada khalayak merupakan satu usaha mendidik mahasiswa ke arah berbudi dan berbakti dengan ilmu yang dimiliki.

Pembentangan tajuk projek akhir ini merangkumi penerbitan dokumentari dan penyiaran, penyelidikan akademik dan pengiklanan serta kempen di bawah tema Masa Hadapan Media: Cabaran, Trend dan Inovasi. Antara tajuk yang dibentangkan oleh pelajar adalah Perkembangan Media Digital dan Etika Kewartawanan, Di Sebalik Homestay Kebun Harum Manis Wan Pa, dan Kempen Kesedaran Menderma Darah Dalam Kalangan Pelajar Universiti Utara Malaysia.

Program OSEM 2024 ini menjadi platform yang sangat sesuai untuk berkongsi pengetahuan, idea baru dan hasil penyelidikan yang telah dilakukan bersama orang ramai. Program ini turut membuktikan bagaimana para pelajar begitu komitmen untuk menyelesaikan projek akhir mereka apabila mereka sendiri yang turun ke padang untuk mendapatkan sesuatu maklumat.

Salah seorang pakar penilai bagi OSEM 2024 ialah Dato’ Hj. Izelan bin Basar. Beliau telah merangkumkan 20 perkara utama yang perlu ada dalam jiwa mahasiswa dan mahasiswi bagi menerajui masa hadapan dunia media yang mencabar. Antaranya, pelajar perlu fokus kepada mesej yang ingin disampaikan bukan hanya pada gaya pembentangan, menekankan kepentingan USP (unique selling proposition) dalam pembentangan iaitu apa yang membuatkan pembentangan ini berbeza dan menarik, menekankan asas komunikasi seperti 5W1H iaitu (Who, What, When, Where, Why, How), menggunakan formula sandwich yang terdiri daripada tiga peringkat iaitu pra produksi, produksi, dan pasca produksi, dan melakukan eye contact dengan penonton.

“Pelajar juga perlu memastikan memberikan mesej dengan jelas dan ringkas serta mengurangkan maklumat yang tidak diperlukan, dramatis dalam persembahan iaitu menggunakan penceritaan (storytelling), kenali penonton, praktis sebelum pembentangan, memberikan suasana yang positif, bijak menguruskan masa ketika pembentangan, dan menggunakan elemen muzik yang sesuai,” tambah beliau lagi.

Petua-petua ini perlu dititikberatkan bukan sahaja kepada pelajar, malah kepada komuniti adalah menyampaikan sesuatu pembentangan. Hal ini demikian kerana, pembentangan yang baik akan memberi impak yang baik bukan sahaja kepada diri, malah kepada penonton.