QS World University Rankings ialah satu portfolio disusun oleh Quacquarelli Symonds iaitu sebuah firma penyelidikan pendidikan tinggi untuk membandingkan kedudukan kolej dan universiti. Setiap tahun, QS World University Rankings akan memberikan senarai terkini universiti terbaik di seluruh dunia yang mana ia ditunggu-tunggu oleh setiap universiti, para pendidik dan pelajar. QS World University Rangkings edisi 2025 diungguli oleh Massachusetts Institute of Technology (MIT) dengan Imperial College London di tempat kedua, dan University of Oxford di tempat ketiga.
Menurut QS World University Rankings, hanya 15 universiti awam Malaysia yang disenaraikan. Daripada senarai itu, Universiti Malaya (UM) menduduki tempat pertama, diikuti oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di tempat kedua, Universiti Sains Malaysia (USM) di tempat ketiga, Universiti Putra Malaysia (UPM) di tempat keempat, dan Universiti Teknologi MARA di tempat kelima. Semua lima universiti ini juga dikategorikan sebagai universiti penyelidikan, menambah keistimewaan kepada kedudukan mereka dalam ranking tersebut.
Di samping itu, terdapat juga universiti awam lain dari Malaysia yang tersenarai dalam QS World University Rankings, seperti Universiti Utara Malaysia (UUM) di tangga ke-554, Universiti Teknologi MARA (UITM) di tangga ke-587, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) di tangga ke-661-670, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di tangga ke-951-1000, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di tangga ke-1001-1200, serta Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) juga di tangga ke-1001-1200.
Seterusnya, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM) di tangga ke-1201-1400 dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pula berada di tangga ke-1401+. Walaupun berada dalam kedudukan yang lebih rendah, kejayaan tersenarai dalam QS World University Rankings merupakan pencapaian yang membanggakan bagi universiti-universiti ini.
Biasanya, QS World University Rankings dikeluarkan setiap tahun pada bulan Jun. Penyusunan kedudukan ini berdasarkan metodologi, termasuk reputasi akademik (30%), reputasi majikan (15%), nisbah pensyarah atau pelajar (10%), kutipan setiap pensyarah (20%), nisbah pensyarah antarabangsa (5%), nisbah pelajar antarabangsa (5%), rangkaian penyelidikan antarabangsa (5%), kejayaan pekerjaan selepas tamat pengajian (5%), dan kelestarian (5%).
Penyenaraian universiti dalam QS World University Rankings bukan sahaja memberi kesan kepada universiti itu sendiri, tetapi juga kepada para pelajar yang sedang mencari universiti atau kolej terbaik untuk melanjutkan pelajaran mereka. Melalui QS World University Rankings, pelajar dapat memilih dan mengetahui universiti yang memiliki reputasi akademik yang cemerlang. Selain itu, pengiktirafan peringkat global ini juga memberi pelajar maklumat berkaitan kualiti pengajaran, penyelidikan, dan aspek lain yang penting dalam mempertimbangkan pilihan mereka dalam menentukan kriteria universiti yang mereka inginkan.
Selain itu, QS World University Rankings juga memberikan kesan positif kepada universiti termasuk meningkatkan kemasukan pelajar tempatan, mahupun pelajar antarabangsa untuk meneruskan pendidikan di institusi tersebut. Selain itu, pengiktirafan ini juga memberi dorongan kepada universiti untuk terus memperbaiki reputasi akademik mereka, kualiti pengajaran, penyelidikan, dan lain-lain. Tujuannya adalah untuk mengekalkan atau meningkatkan kedudukan mereka dalam ranking setiap tahun.
Kesimpulannya, QS World University Rankings ini memberi manfaat bukan sahaja kepada universiti, malah para pelajar juga. Bagi institut yang ingin mengekalkan atau meningkatkan kedudukan mereka, pihak universiti, pensyarah dan pelajar perlulah berusaha lebih giat untuk mencapai matlamat tersebut.
Sumber : SMMTCNews