All News

Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM), menjadi tuan rumah sempena Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Negeri Kedah

SINTOK – Hari Tanpa Tembakau Sedunia disambut pada 31 Mei setiap tahun bertujuan untuk meningkatkan lagi kesedaran masyarakat mengenai bahaya merokok dalam menyokong usaha menangani ketagihan terhadap tembakau. Tema tahun ini ialah Lindungi Kanak-kanak daripada Pengaruh Industri Tembakau.

 t1.png

Amat membanggakan apabila Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah terpilih menjadi tuan rumah bagi Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Negeri Kedah, yang berlangsung pada hari Khamis baru ini.

Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Prof. Madya Dr. Mohd Khairie berkata, beliau amat berbesar hati dan bertuah kerana Jabatan Kesihatan Negeri Kedah menawarkan kepada Universiti Utara Malaysia khususnya kepada Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi untuk menganjurkan program ini.

t2.png

“Biarlah program ini menjadi satu titik permulaan untuk kolaborasi yang lebih sinergi pada masa-masa akan datang dan saya merakamkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kedah kerana  memilih UUM untuk menganjurkan program seumpama ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Ismuni Bohari berkata, di peringkat negeri Kedah, beliau berhasrat untuk menjenamakan semula sambutan ini. Bukan sahaja memfokuskan kepada tembakau, malah kepada vape juga memandangkan ramai yang menggantikan tembakau itu dengan vape yang sedang rancak sekarang ini walaupun keduanya sama-sama berbahaya.

t3.png

“Oleh itu, kita perlu memastikan generasi yang akan datang ini adalah generasi yang sihat dari segi mental, fizikal dan menghindarkan diri daripada merokok atau vape. Sekiranya kita boleh menghentikan tembakau dan vape ini, kita boleh menghasilkan satu generasi baru iaitu generasi yang sihat, yang mana mereka akan menjadi pewaris kepada negara kita suatu hari ini,” katanya ketika majlis Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Tahun 2024 peringkat Negeri Kedah.

t4.png

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bagi merealisasikan hasrat tersebut, masyarakat perlu mengamalkan cara hidup yang sihat seawal peringkat kanak-kanak. Antara cara yang boleh dilakukan adalah dengan menjaga pemakanan dan bersenam. Selain itu, masyarakat juga perlu mengubah persekitaran yang sedia ada ke arah persekitaran yang sihat, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi seluruh komuniti untuk membudayakan cara hidup yang sihat.

t5.png

Selain itu juga, beliau berharap kolaborasi antara Jabatan kesihatan Negeri Kedah dan UUM ini tidak terhenti sehingga hari ini sahaja, tetapi akan berterusan untuk menjenamakan UUM ini sebagai universiti sihat di Malaysia yang mendapat pengiktirafan sebagai antara universiti-universiti tunjang yang mengamalkan cara hidup sihat dan pendekatan cara hidup sihat.

Beliau juga turut menasihati pelajar-pelajar UUM agar sentiasa tanamkan dalam hati bahawa kesihatan itu adalah segala-galanya dan perlu dijaga dengan sebaik mungkin. Hal ini secara tidak langsung akan menjadikan mereka sebagai generasi pertama yang mengayakan cara hidup sihat seterusnya dibawa kepada  keluarga mereka serta komuniti di luar sana.

Hadir sama Pegawai Kesihatan Daerah Kubang Pasu, Dr. Mohd Hisham Ahmad Kusairi, pegawai-pegawai kesihatan daerah Negeri Kedah, pengarah-pengarah hospital serta wakil, dan pegawai-pegawai daripada Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.

Seterusnya, bagi memeriahkan lagi Sambutan Hari Tanpa Tembakau Peringkat Negeri Kedah ini, Unit NCD Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dengan kerjasama Kelab Program Siswa Sihat (PROSIS) UUM, dan Pelajar Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), telah  menganjurkan pelbagai aktiviti menarik seperti Program Pemeriksaan Kesihatan, Pameran Kesihatan serta Kempen Derma Darah.

Dalam pada itu, salah seorang mahasiswa SMMTC, Aminatul Atieqah Nor Azimi berkata, dia berasa teruja apabila Sambutan Hari Bebas Tembakau Peringkat Negeri Kedah dijalankan di SMMTC. Aminatul turut memaklumkan bahawa dia belajar banyak benda baru melalui aktiviti-aktiviti yang telah diadakan sempena sambutan ini.

 #smmtcsteady #smmtcNEWS

 

Oleh: Madihah Zahira Mohamad Zaki (Pelajar Praktikum dari SMMTC)