All News

KECEMERLANGAN PELAJAR SMMTC

Program mobiliti merupakan pergerakan pelajar ke luar negara (outbound) atau ke dalam negara (inbound) bagi menyertai program-program berbentuk pengantarabangsaan sama ada secara berkredit atau tidak berkredit. Program ini memberi peluang kepada pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk mendapatkan pengalaman pendidikan dengan mengikuti program akademik yang ditawarkan di dalam dan luar negara. Tidak terkecuali, pusat pengajian di UUM yang sering menganjurkan program mobiliti ialah Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC).             

SMMTC membuka peluang mengikuti program mobiliti kepada pelajar yang aktif terutamanya daripada IPRMSA UUM Chapter, Kelab Multimedia, Persatuan Komunikasi dan Persatuan Teknologi Media dan kebiasaanya, pelajar yang dipilih untuk mengikuti program ini dari kalangan majlis tertinggi seperti Presiden, Timbalan Presiden, Setiausaha dan Bendahari.    

Sehingga kini, sebanyak tiga program mobiliti tidak berkredit berjaya dijalankan di bawah Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) iaitu di Universitas Sebelas Maret di Solo Indonesia pada tahun 2019, Universitas Mataram di Lombok Indonesia pada bulan Febuari 2023, dan yang terakhir di Universitas Mercu Buana, Universitas Pancasila, dan Politeknik TEMPO di Jakarta pada bulan Desember pada tahun yang sama.

Menurut Dr. Mohd Zuwairi Bin Mat Saad, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, pada tahun 2024, SMMTC merancang untuk menganjurkan program mobiliti tidak berkredit di Universitas Andalas, Padang Indonesia.

Katanya lagi, tujuan program mobiliti dianjurkan adalah untuk memberi peluang dan pendedahan kepada pelajar mengenai landskap pendidikan negara luar dan komunikasi antara budaya terutamanya negara serumpun, Indonesia. Malah melalui program ini pelajar dapat mempertingkatkan kemahiran modal insan yang merupakan nilai tambah sekiranya pelajar mempunyai matlamat dalam menerima anugerah semasa upacara konvokesyen.

c1.png

“Kaavilash Nair a/l Jason Raja, salah seorang pelajar cemerlang di Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) daripada program Komunikasi yang turut menyertai dan menjalankan program mobiliti. Pelajar ini yang telah berjaya mendapatkan Anugerah Diraja pada penghujung pengajian beliau di UUM iaitu pada tahun 2023”, tambah Dr. Mohd Zuwairi.

Menurut Dr Mohd Zuwairi, pelajar dari program Komunikasi ini mempunyai semangat juang yang tinggi ketika kali pertama beliau menyambung pelajaran di peringkat sarjana muda di UUM.  Kaavilash Nair mempunyai dua matlamat dan tujuan yang jelas ketika berada di semester satu iaitu berhasrat untuk mendapat anugerah dekan setiap semester dan mendapat mana-mana anugerah yang ditawarkan di universiti.

Bagi mencapai matlamat tersebut, sepanjang menuntut di UUM, beliau aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum dan menjawat pelbagai jawatan seperti Timbalan Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sesi 2021/2022, Presiden Persatuan Komunikasi bagi 2020/2021 dan Naib Exco Kelab Patriot Negeri Sembilan bagi sesi 2019/2020.  Selain itu, Kaavilash juga sangat aktif menjalankan perbagai aktiviti termasuklah program mobiliti. Walaupun pada ketika itu mobiliti secara fizikal tidak dapat dijalankan astas faktor Covid-19, namun disebabkan semangatnya yang tinggi, Kaavilash telah mengadakan aktiviti mobiliti tetapi secara atas talian. Pelajar ini telah mengadakan program Forum Komunikasi Global dan menjemput pelajar dari negara Pakistan, Indonesia, Palestine, dan Thailand. Walaupun aktiviti mobiliti ini dijalankan secara atas talian, namun ia berjalan dengan lancar.

Walaupun aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum, beliau tidak melupakan tanggungjawabnya dalam akademik sehingga berjaya mendapat anugerah dekan setiap semester. Pada akhirnya, Kaavilash berjaya menamatkan pengajian peringkat Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian dan memperoleh ijazah kelas Kelas Pertama dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.86. Dan sekarang, beliau   telah mendapat kerja tetap di PETRONAS memegang jawatan sebagai pegawai di Jabatan Komunikasi Strategik.

Kesimpulannya, program mobiliti di SMMTC ini memberi pendedahan kepada pelajar dari sudut antara budaya itu sendiri. Mereka berpeluang untuk merasai satu pengalaman pertukaran budaya itu sendiri. Hal ini kerana sepanjang program mobiliti ini berlangsung, mereka akan menjalan setiap aktivi yang berbeza dan setiap aktiviti mempunyai impak yang berbeza kepada diri pelajar itu sendiri. Selain itu, para pelajar dapat melatih diri dari segi kerja berkumpulan, kemahiran berkomunikasi, pemikiran kritis dan sebagainya. Semua impak ini bukan sahaja dapat diaplikasikan dalam aktiviti kokurikulum sahaja, malah dalam akademik juga.

#smmtcsteady

Sumber : smmtcNEWS