Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) merupakan salah satu pusat pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menawarkan tiga program kepada para pelajar yang berminat mendalami bidang berkaitan komunikasi serta media iaitu Komunikasi, Teknologi Media dan Multimedia.
Sebelum kesemua program ini digabungkan di bawah satu pusat pengajian, program Komunikasi dan Teknologi Media pada awalnya ditawarkan oleh Fakulti Komunikasi dan Bahasa Moden (FKBM), manakala program Multimedia berada di bawah Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC).
Menurut Pengerusi Program Komunikasi, Dr. Adibah Ismail, ketika Pusat Pengajian Teknologi Media dan Komunikasi (SMMTC) ditubuhkan pada tahun 2011, barulah program Multimedia digabungkan dengan program Komunikasi dan Teknologi Media bagi mewujudkan program yang dinamik untuk ditawarkan kepada pelajar. Dengan itu, secara rasmi SMMTC mempunyai tiga program utama iaitu Komunikasi, Teknologi Media dan Multimedia.
Secara terperincinya, kursus komunikasi di UUM ini memfokuskan kepada bidang komunikasi organisasi dan pelajar mendapat pendedahan tentang semua elemen di dalam komunikasi merangkumi komunikasi kepimpinan, korporat, komunikasi di dalam organisasi dan komunikasi kemanusiaan.
Program Komunikasi ini fokus melahirkan barisan pengurus media yang boleh bekerja di mana-mana organisasi atau entiti perniagaan. Ini kerana, graduan program Komunikasi dari SMMTC mampu memainkan peranan sebagai Pengurus Komunikasi Korporat misalnya atau Pegawai Perhubungan Awam apabila menjalani pengajian di SMMTC. Graduan telah dilatih dan memiliki ilmu komunikasi yang lengkap dari pelbagai aspek dan sesuai dengan keperluan industri yang pada hari ini memerlukan pasukan komunikasi yang mantap bukan sahaja untuk imej tetapi menguruskan pelbagai isu di dalam operasi mereka.
Program Komunikasi yang diasaskan pada tahun 1999 ini telah mendapat pengiktirafan apabila tersenarai di dalam QS World University Ranking bagi kategori subjek.
Berbeza dengan penawaran program komunikasi universiti awam dan swasta yang lain, kursus kewartawanan dan penyiaran SMMTC ditawarkan di bawah program Teknologi Media. Program Teknologi Media diperkenalkan pada 2006 merangkumi empat bidang utama iaitu Penyiaran, Periklanan, Kewartawanan dan Komunikasi Interaktif. Pada tahun 2010, Komunikasi Interaktif dibubarkan dan penawaran kursus terdiri daripada 3 kursus utama sahaja iaitu Penyiaran, Periklanan dan Kewartawanan.
Bagi memastikan sukatan pelajaran dan skop kursus yang mantap dan relevan mengikut perkembangan teknologi, program Teknologi Media melakukan rombakan kurikulum pada tahun 2020 yang mengikut piawaian program supaya kursus elektif tidak melebihi 12 jam kredit.
Bagi program Multimedia pula, ia tidak menetapkan sebarang pengkhususan kepada mahasiswa sebagai usaha melahirkan graduan yang memiliki ilmu pengetahuan menyeluruh dari segi teori dan praktikal selain mempersiapkan mereka untuk menceburi bidang kerjaya apabila tamat pengajian. Graduan yang lahir daripada program ini mampu melaksanakan tugas berkaitan multimedia dan komunikasi yang diharap memenuhi keperluan industri pada hari ini yang ditunjangi kemajuan teknologi komunikasi maklumat (ICT).
Seperti program Komunikasi, progam Multimedia ini turut tersenarai di kedudukan 223 bagi subjek Sains Sosial dan Pengurusan serta di kedudukan 551-600 untuk mata pelajaran Sains Komputer dan Sistem Maklumat di bawah QS World University Ranking.
Satu lagi program yang ditawarkan di SMMTC adalah Teknologi Media yang memberi penekanan kepada bidang penyiaran, periklanan dan kewartawanan. Graduan program ini telah berkhidmat di pelbagai sektor seperti organisasi media kerajaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM), agensi berita Bernama, Sinar Harian dan ramai juga mengembangkan bakat dengan menceburi bidang perniagaan berkaitan media sosial.
“Program ini amat sesuai untuk diambil oleh pelajar baharu kerana ia selari dengan hala tuju negara dengan penggunaan teknologi media yang mampan. Lima pelan hala tuju teknologi yang dimaksudkan terdiri daripada Pelan Hala Tuju Elektrik dan Elektronik: Pembangunan Teknologi 2021-2030, Pelan Hala Tuju Teknologi Blockchain Negara 2021-2025, Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan (AI) 2021-2025, Pelan Hala Tuju Teknologi Bahan Termaju Nasional 2021-2030 dan Pelan Hala Tuju Robotik Negara 2021-2030. Oleh itu, pelajar mempunyai banyak peluang dalam memperkasakan ilmu teknologi di masa hadapan selari dengan hala tuju negara”, kata Dr. Aselawati Che Ab. Aziz, Pengerusi Program Teknologi Media SMMTC.
Bagi mencapai matlamat itu juga, program Multimedia tidak menetapkan sebarang pengkhususan kepada pelajar bagi membolehkan mereka menguasai semua elemen dan ilmu yang diperlukan di dalam bidang media khususnya berkaitan teknologi komunikasi. Mahasiswa banyak didedahkan kepada aspek praktikal berkaitan multimedia seperti penghasilan grafik, audio, video, animasi dan sebagainya yang menjadikan ia salah satu program istimewa yang ditawarkan oleh SMMTC.
Keunikan tiga program yang ditawarkan SMMTC ini menjadikannya salah satu destinasi pilihan bagi pelajar untuk menyambung pendidikan tinggi sama ada di peringkat siswazah atau pasca siswazah selaras dengan populariti UUM sebagai sebuah Universiti Pengurusan Terkemuka di negara ini.
#smmtcsteady
Sumber : smmtcNEWS