All News

TEMPAT HEALING PELAJAR UUM

LALUAN A

“Jauh perjalanan, luas pemandangan”. Pepatah ini sering kita dengar dalam kalangan masyarakat Melayu, yang mengambarkan kepada seseorang yang kerap merantau. Pemandangan indah yang ditatapi bukan sahaja dapat menenangkan fikiran malah dapat memberi aura positif dalam diri.

Universiti Utara Malaysia (UUM) tidak terkecuali menjadikan kampusnya sebagai kampus hijau. Keunikan UUM dengan flora dan fauna serta pokok hijau di sekeliling  kampus telah menyebabkan tercetusnya tagline baru iaitu "Universiti Di Rimba Hijau" atau dalam Bahasa Inggeris disebut sebagai "The University in A Green Forest".

UUM yang mempunyai fenomena semulajadi yang cantik serta indah telah menjadikan kampus ini sebagai tarikan para pelajar untuk menikmati keindahan ciptaan Tuhan ini. Keindahan suasana di UUM yang dipenuhi dengan flora dan fauna turut menarik perhatian orang awam untuk bergambar di kawasan tersebut.

a1.png

Salah satu kawasan yang menarik perhatian para pelajar UUM ialah Taman Burung Unta. Taman Burung Unta yang terletak di laluan A ini telah wujud sejak November, 2013 dan dikawal selia oleh Unit Taman & Rekreasi UUM. Sehingga hari ini, hanya tiga ekor burung unta sahaja yang tinggal. Namun, ia tidak menghalang Taman Burung Unta ini menjadi salah satu tarikan para pelajar dan orang awam untuk bergambar di sini. Di hadapan Taman Burung Unta ini terdapat kerusi dan meja yang membolehkan pelajar untuk berehat dan bersantai pada waktu petang sambil menikmati angin yang bertiup.

a2.png

a3.png 

Tidak jauh dari Taman Burung Unta, Taman Rusa turut menjadi tarikan pelajar UUM untuk healing. Taman Rusa ini diwujudkan sejak tahun 1997.  Taman Rusa yang terletak berdekatan dengan laluan pelajar pulang ke kolej kediaman membolehkan pelajar untuk singgah di taman ini sebelum pulang ke kolej kediaman masing-masing. Pelajar berpeluang untuk memberi makan kepada rusa tersebut dengan memberi daun segar atau roti. Bagi pelajar yang suka bergambar, mereka dapat mengambil gambar sambil memegang rusa tersebut memandangkan haiwan ini sangat jinak di samping boleh dijadikan sebagai kenang-kenangan sebelum mereka tamat sesi pengajian di UUM.

 a4.png

 a5.png

 

Selain itu, Kopi Mesin juga merupakan salah satu tempat healing bagi pelajar UUM. Kopi Mesin beroperasi setiap hari Ahad hingga Sabtu kecuali hari Jumaat dan bermula pada pukul 11 pagi hingga 11 malam. Kedudukan kafe ini yang terletak bersebelahan dengan tasik, menarik lagi minat para pelajar untuk menikmati makanan dan minuman yang disediakan di sini.  Di samping dapat menikmati hidangan, pelajar dapat menikmati suasana malam bersebelahan tasik yang sangat tenang. Oleh kerana kafe ini dibuka sehingga 11 malam, ia memudahkan bagi pelajar yang lapar pada lewat malam. Mereka dapat membeli makanan di Kopi Mesin, tanpa perlu keluar dari kampus.

Antara menu menarik yang disediakan di kafe ini adalah makanan western seperti Black Pepper Chicken, Pasta Creamy Tomyum Chicken, dan Golden Chicken Chop. Selain itu, Kopi Mesin turut menyediakan minuman sejuk seperti Chocolate Strawberry Milkshake, Vanilla Oreo Ice blended, dan Mocha Frappucino. Seterusnya, bagi pelajar yang menikmati dessert, mereka dapat memesan pesanan tersebut seperti Pavlova, Portuguese Egg Tart, dan kek.

Bagi pelajar yang ingin menyiapkan tugasan sambil tenang dan santai, mereka dapat membuat tugasan tersebut di Kopi Mesin memandangkan kafe ini menyediakan WiFi percuma untuk para pelanggan. Di samping menyiapkan tugasan, mereka dapat memesan makanan ringan seperti Chili Con Nachos.

 

LALUAN B

Peribahasa Melayu menyebut, “tak kenal maka tak cinta”. Oleh itu, selagi mana masih berpeluang untuk belajar di kampus, gunalah peluang itu dengan sebaiknya. Gunakan waktu yang ada untuk berkenalan dengan kawan yang lain di samping mengeratkan hubungan antara satu sama lain. Untuk berkenalan dengan orang lain, kita tidak perlu melakukan perkara yang sukar dan susah. Jika terjumpa dengan orang di surau atau dalam kenderaan awam, kita dapat bertegur dan berbual dengan mereka.

Peribahasa Melayu “tak kenal maka tak cinta” membawa maksud jika kita tidak mengenali seseorang itu, bagaimana mungkin kita dapat menzahirkan perasaan cinta terhadapnya. Menzahirkan perasaan di sini bukan sahaja khusus bagi pasangan, malah juga terhadap jiran tetangga dan rakan seperjuangan.

a6.png a7.png

 

Tasik Universiti merupakan salah satu tempat healing pelajar UUM pada hujung minggu. Di sini, mereka dapat berkenalan dengan kawan baharu dan melakukan aktiviti bersama-sama. Walaupun fokus dalam akademik, pelajar juga perlu menjaga kesihatan diri dan emosi. Kadang-kadang, terlalu fokus belajar sehingga tidak melakukan aktiviti yang santai dan menyeronokkan boleh membawa kesan negatif kepada pelajar itu sendiri. Oleh itu, Tasik Universiti dapat dijadikan salah satu tempat bagi para pelajar healing setelah seharian belajar.

Tasik ini turut menyediakan kerusi untuk kemudahan awam. Dengan itu, pelajar dapat berbual antara satu sama lain di samping melihat pemandangan tasik dan menikmati angin yang bertiup lembut. Di Tasik Universiti ini juga, pelajar dapat beriadah dan berjogging pada waktu petang. Persekitarannya yang bersih dan indah serta dipenuhi dengan pokok-pokok memang amat sesuai untuk dijadikan tempat untuk pelajar healing.

a8.png

Selain itu, pelajar juga dapat melakukan aktiviti berkayak di tasik ini. Bagi pelajar yang ingin melakukan aktiviti luar, berkayak dapat dijadikan sebagai pilihan utama. Untuk soal keselamatan, tidak perlu terlalu dihiraukan kerana pihak universiti turut menyediakan jaket keselamatan. Namun perlu diingatkan juga, untuk berwasapada ketika melakukan aktiviti ini. 

a9.png a10.png

 

Dewan Mu’adzam Shah atau lebih dikenali dengan panggilan Dewan MAS di kalangan warga dan pelajar UUM merupakan sebuah dewan yang tersergam indah dan menjadi lambang keunggulan ilmu pengurusan dan kebanggaan seluruh warganya. Dewan ini telah dimasyhurkan secara rasminya oleh Tunku Canselor, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah pada 3 November 1991 bersempena dengan konvokesyen UUM ke-4. Keluasan dewan ini sebanyak 9692 meter persegi mampu memuatkan 4000 orang untuk satu-satu masa manakala Dewan Panggung Eksperimen pula seramai 500 orang.

Di samping menjadi dewan untuk majlis konvokesyen, Dewan MAS ini juga turut dijadikan dewan bagi pelajar menghadapi peperiksaan. Selain itu, di hadapan dewan ini juga mempunyai dataran rumput yang luas sekaligus menjadi pilihan para pelajar untuk berlepak di situ. Pada bulan Ramadan, dataran ini dijadikan tempat para pelajar untuk berbuka puasa. Kawasan rumputnya yang luas boleh memuatkan ramai pelajar untuk berbuka bersama rakan-rakan di situ.

Kesimpulannya, di kampus UUM banyak tempat yang dijadikan lokasi healing para pelajar. Kebanyakkan tempatnya dipenuhi dengan pemandangan hijau. Jadi, amat sesuailah dengan tagline UUM iaitu “Universiti Di Rimba Hijau".

 

#smmtcsteady

Sumber: smmtcNEWS