Program Jelajah Digital adalah salah satu aktiviti dalam Program Usahasama Permata Anggun (PusPA) di peringkat negeri Kedah. Program ini adalah aktiviti bersama Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi dengan kolaborasi bersama Sekolah Kebangsaan Jitra (SKJ) dan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SKJ telah dijalankan pada 22 Jun 2024 (Sabtu) dari pukul 9.00 pagi sehingga 10.30 pagi. Program Usahasama Permata Anggun (PusPA). Program ini diadakan di Daerah Kubang Pasu yang merupakan daerah angkat SMMTC melibatkan beberapa organisasi dan industri iaitu Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah, Perpustakaan Awam Negeri Kedah, Pejabat Kesihatan Kubang Pasu, SWCorp dan Hasani Bookstore.
Inisiatif mengadakan bengkel ini adalah bertujuan untuk perkongsian ilmu mengenai penggunaan digital kepada murid-murid sekolah rendah di sekitar negeri Kedah. Sekolah yang akan terlibat ialah murid Sekolah Rendah Kebangsaan Jitra dan seramai 40 orang murid dari sekolah-sekolah jemputan dalam Daerah Kubang Pasu, Daerah Kota Setar, Daerah Pendang dan Daerah Sik, Kedah. Jumlah pelajar yang terlibat dalam program ini adalah 143 orang.
Objektif program ini adalah memberi pendedahan kepada murid sekolah rendah mengenai digital platform serta aplikasi digital dalam pembelajaran, meningkatkan penggunaan teknologi digital secara bersepadu, kreatif, bertanggungjawab serta beretika kepada murid dan akhirnya menyemarakkan lagi program komuniti di daerah angkat SMMTC iaitu Daerah Kubang Pasu.
Bengkel ini memberi peluang kepada pensyarah di SMMTC untuk melibatkan diri dengan komuniti luar yang mendapat manfaat daripada Program Pemindahan Pengetahuan (KTP) dan Tanggungjawab Sosial Universiti (USR). Bengkel ini juga dapat membina jalinan kerjasama antara SMMTC dan beberapa sekolah rendah di sekitar Kubang Pasu.
Penceramah yang terlibat adalah Dr. Hammuzamer Irwan bin Hamzah, Dr. Nur Sauri bin Yahaya dan Dr. Ruziana binti Mohamad Rasli. Tajuk ceramah yang disampaikan masing-masing adalah Keselamatan dan Kreativiti dalam Teknologi Digital, Demonstrasi Realiti Maya dan Pembelajaran Melalui Teknologi Digital. Penceramah menyatakan bahawa pelajar-pelajar yang menyertai program ini memberikan kerjasama yang baik dan menunjukkan minat terhadap penggunaan aplikasi digital.
Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara (IABCU) memberikan penghargaan kepada SMMTC atas kesudian berkolaborasi bersama menjayakan Program Usahasama Permata Anggun (PusPA) di Sekolah Kebangsaan Jitra.
#smmtcsteady
Sumber: smmtcNEWS