All News

SMMTC MEMBAWA PRODUK REALITY MAYA IMERSIF (IVR) KE KOMUNITI TITI TERAS

GURUN, 22 SEPTEMBER 2023: Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan sebuah aktiviti jangkauan komuniti “Pameran Realiti Maya Imersif (IVR)” di kawasan Titi Teras. 

t1abc

         Perlaksanaan program ini adalah bertujuan untuk menyebarkan manfaat pembangunan inovasi dan hasil penyelidikan tenaga akademik SMMTC ke dalam komuniti dengan lebih meluas. Dengan berlangsungnya pameran ini, ianya dapat membuka peluang kepada para komuniti setempat untuk merasai dan menimba pengalaman menggunakan IVR. Kesemua peralatan pameran disediakan dan diurus oleh kakitangan akademik SMMTC iaitu terdiri dari Profesor Ts. Dr. Ariffin Abdul Mutalib, Dr. Nur Sauri Yahya, dan Profesor Madya Ts. Dr. Sobihatun Nur Abdul Salam. Bahan dan produk IVR yang dipamerkan juga adalah hasil penyelidikan PhD Dr. Nur Sauri. Melalui aktiviti sebegini, membolehkan ahli komuniti merasai teknologi IVR yang dipamerkan, komuniti dapat menimba pengetahuan tentang teknologi IVR dengan jelas, mempelajari kaedah berinteraksi dalam persekitaran IVR, memahami sebab VR diangkat menjadi agenda besar dalam IR4.0, dan terapat banyak lagi manfaat lain yang dapat diperolah. Selain itu, program ini juga telah dijayakan dengan kerjasama strategik bersama MCMC Kedah dan PEDi Titi Teras.

          Berkat usahasama tiga penjuru tersebut, program itu dapat dijalankan dengan lebih efisyen, lancar, berkesan, dengan kos yang minima kerana kos operasi banyak ditaja oleh rakan kerjasama. Pihak rakan kerjasama memberi maklumbalas yang sangat baik bagi program ini. Bagi En. Mazlan (MCMC), “Saya berterima kasih kepada Prof. Dr. Ariffin dan UUM kerana berusaha mengadakan pameran ini. Ia sudah pasti meninggal kesan yang besar terhadap pengetahuan anak-anak komuniti Titi Teras. Program sebegini harus dijalankan kerana ia memberi peluang kepada komuniti untuk merasai pengalaman belajar dengan teknologi masa hadapan, khususnya IVR”. Sementara itu, Bagi pihak PEDi Titi Teras, Puan Juhaida Makhtar menyatakan “Kami di PEDi menyambut baik program seumpama ini. Kami akan terus memberi sokongan penuh. Pameran ini memang bermanfaat kepada masyarakat dalam komuniti, dan kanak-kanak pun gembira”.

t45abc

          Pameran tersebut telah disertai oleh 16 orang peserta yang terdiri dari anak-anak di komuniti Titi Teras yang juga merupakan pelajar sekolah rendah di Kampung Titi Teras, terutamanya Sekolah Kebangsaan Titi Teras. Salah seorang peserta iaitu Mohd Aisy Hafiy menyatakan “Saya suka sangat IVR ni, ia memberi pengalaman pembelajaran yang berbeza. Ini kali pertama saya guna IVR. Saya rasa ia mudah digunakan. Kawan-kawan yang tak dapat hadir hari ini kena datang bila UUM datang lagi nanti”. Peserta Nur Aisyah Sofia pula menyatakan “Saya tidak ada masalah menggunakan IVR, mudah ja. Suasana dalam alam maya dia memang best, cantik… Penerangan dia pun menarik. Kalau ada lagi nanti saya nak cuba lagi. Terima kasih UUM”. Rata-rata peserta yang merasai IVR ini menyatakan keterujaan mereka.

          Ketua program tersebut iaitu Prof. Ts. Dr. Ariffin (selaku Ketua Unit Penyelidikan Multimedia, Inovasi dan Kemanusiaan Digital – MIDH-RU), mengkalungkan ucapan penghargaan kepada rakan kerjasama yang terlibat, iaitu MCMC Kedah, dan PEDi Titi Teras. Beliau meluahkan kesyukurannya di hujung pameran di atas sambutan yang amat baik oleh komuniti Titi Teras. Menurut beliau, MIDH-RU akan sentiasa membawa kepakaran yang ada di SMMTC ke dalam masyarakat untuk kemaslahatan UUM dan komuniti, dan negara amnya.

Sekian.