All News

SMMTC MEMBAWA PRODUK REALITY MAYA IMERSIF (IVR) KE KOMUNITI NAPOH

KUBANG PASU, 15 SEPTEMBER 2023: Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan sebuah aktiviti jangkauan komuniti “Pameran Realiti Maya Imersif (IVR)” di kawasan Napoh.  n234

          Program ini bertujuan melebarluas manfaat pembangunan inovasi dan hasil penyelidikan tenaga akademik SMMTC ke dalam komuniti. Melalui program ini para peserta dari komuniti setempat dapat merasai sendiri teknologi IVR. Semua peralatan pameran disediakan dan diurus oleh kakitangan akademik SMMTC yang terdiri dari Profesor Ts. Dr. Ariffin Abdul Mutalib, Dr. Nur Sauri Yahya, dan Profesor Madya Ts. Dr. Sobihatun Nur Abdul Salam. Bahan yang dipamer merupakan produk IVR hasil penyelidikan PhD Dr. Nur Sauri. Malalui aktiviti sebegini, yang membolehkan ahli komuniti merasai teknologi IVR yang dipamerkan, komuniti dapat mengetahui teknologi IVR dengan jelas, mempelajari kaedah berinteraksi dalam persekitaran IVR, memahami sebab VR diangkat menjadi agenda besar dalam IR4.0, dan banyak lagi manfaat lain. Program ini telah dijalankan dengan kerjasama strategik bersama MCMC Kedah dan PEDi RTC Napoh.

n4

          Melalui usahasama tiga penjuru tersebut, perlaksanaan program menjadi efisyen, lancar, berimpak, dengan kos yang minima kerana kos operasi banyak ditaja oleh rakan kerjasama. Pihak rakan kerjasama memberi maklumbalas yang sangat baik bagi program ini. Bagi En. Mazlan (MCMC), “Saya berterima kasih kepada Prof. Dr. Ariffin dan UUM kerana berusaha mengadakan pameran ini. Ia sudah pasti meninggal kesan yang besar terhadap pengetahuan anak-anak komuniti Napoh. Program sebegini harus dijalankan kerana ia memberi peluang kepada komuniti untuk merasai pengalaman belajar dengan teknologi masa hadapan, khususnya IVR”. Sementara itu, Bagi pihak PEDi RTC Napoh, Wan Norsyafadila W Muhamad Radzi menyatakan “Kami di PEDi menyambut baik program seumpama ini. Kami akan terus memberi sokongan penuh. Pameran ini memang bermanfaat kepada masyarakat dalam komuniti, dan kanak-kanak pun gembira”.

Berjumlah 14 orang peserta, terdiri dari anak-anak di komuniti RTC Napoh menyertai pameran tersebut. Rata-rata peserta  merupakan pelajar sekolah rendah dan menengah di sekitar Napoh, termasuk Sekolah Kebangsaan Hosba, Sekolah Menengah Kebangsaan Hosba, dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Paya Kamunting. Salah seorang peserta iaitu Muhamad Harith Haziq menyatakan “Saya kagum dengan IVR ni. Syok dalam berjalan dalam alam maya dalam IVR ni, boleh nampak objek-objek, boleh pegang dan perhati, boleh dengar penerangan. Saya cuba kuiz, dan dapat jawab dengan betul. Saya puas hati, nanti nak cuba lagi”. Seterusnya, peserta Kirusnika A/P Vasu pula menyatakan Bagus sangat… saya suka. Ini kali pertama guna, tetapi tak ada masalah. Senang saja nak guna. Saya suka belajar dengan IVR ni. Saya dapat nampak la kaedah belajar di masa depan. Rata-rata peserta yang merasai IVR memberikan komen positif dan mengekspresikan keterujaan mereka terhadap program.

          Ketua program iaitu Prof. Ts. Dr. Ariffin (selaku Ketua Unit Penyelidikan Multimedia, Inovasi dan Kemanusiaan Digital – MIDH-RU), mengkalungkan ucapan penghargaan kepada rakan kerjasama yang terlibat, iaitu MCMC Kedah, dan PEDi RTC Napoh. Beliau meluahkan kesyukurannya dihujung pameran di atas sambutan yang amat baik oleh komuniti Napoh. Menurut beliau, MIDH-RU akan sentiasa membawa kepakaran yang ada di SMMTC ke dalam masyarakat untuk kemaslahatan UUM dan komuniti, dan negara amnya.

Sekian.