All News

SMMTC MENJANGKAU KOMUNITI BUKIT TANGGA MEMBERI PENDEDAHAN MERASAI TEKNOLOGI REALITI MAYA IMERSIF (IVR)

KUBANG PASU, 9 SEPTEMBER 2023: Aktiviti jangkauan komuniti “Pameran Realiti Maya Imersif (IVR) anjuran  ”Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dilaksanakan di kawasan Bukit Tangga. Dengan kerjasama strategik bersama MCMC Kedah, Peragold Technologies Sdn. Bhd., dan PEDi Bukit Tangga, Program ini dapat dilaksanakan dengan lancar.

bt1a

     Apa yang ingin dicapai daripada program ini adalah untuk memperluaskan manfaat pembangunan inovasi dan hasil penyelidikan tenaga akademik SMMTC ke dalam komuniti. Dengan adanya program ini para peserta dari komuniti setempat dapat merasai sendiri teknologi IVR. Peralatan-peralatan pameran semuanya telah  disediakan dan diurus oleh kakitangan SMMTC iaitu Profesor Ts. Dr. Ariffin Abdul Mutalib, Dr. Nur Sauri Yahya, dan Profesor Madya Ts. Dr. Sobihatun Nur Abdul Salam. Bahan yang dipamer merupakan produk hasil penyelidikan PhD Dr. Nur Sauri. Perlaksanaan aktiviti sebegini, yang membolehkan ahli komuniti merasai teknologi IVR yang dipamerkan, komuniti dapat mengetahui teknologi IVR dengan jelas, mempelajari kaedah berinteraksi dalam persekitaran IVR, memahami sebab VR diangkat menjadi agenda besar dalam IR4.0, dan banyak lagi manfaat lain.

bt4     Melalui usahasama tiga penjuru, iaitu MCMC, Peragold, PEDi Bukit Tangga, dan SMMTC, perlaksanaan program menjadi efisyen, lancar, berimpak, dengan kos yang minima kerana kos operasi selebihnya ditaja oleh rakan kerjasama. Berikut, terdapat maklumbalas yang sangat baik dari rakan kerjasama bagi program ini. Menurut En. Hairil Hasan (Peragold), “Program ini amat baik sekali. Ia dapat membuka mata dan minda anak-anak dalam komuniti, dan ia patut diteruskan” Sementara itu, En. Mazlan (MCMC Kedah) menyatakan bahawa pihaknya tidak ada masalah untuk menyambut baik jika program ini diulang lagi di masa hadapan. Bagi pihak PEDi Bukit tangga, En. Zulhilmy menyatakan “Alhamdulillah…Tahniah serta terima kasih Prof. atas penganjuran program yang sangat bermanfaat serta futuristic ini untuk komuniti Felda Bukit Tangga. Semoga ia memberi manfaat, pengalaman serta pendedahan yang sangat bermakna untuk pihak kami serta semua peserta. Ini pun ada ramai lagi yang tidak sempat mencuba akibat kekangan masa dan peralatan”. Program itu juga turut dihadiri Pengurus PEDi Changlun, Encik Muhammad Aizuddin Fitri Bin Khuiruddin, dan Pengurus PEDi Chuping, Puan Zakiah Binti Rejab. Kehadiran mereka dalam membantu operasi pameran telah melancarkan program.

bt5     Seramai 23 peserta telah menyertai pameran itu, terdiri dari anak-anak di komuniti Felda Bukit Tangga. Mereka merupakan pelajar sekolah rendah dan menengah di sekitar Changlun dan Sintok, termasuk Sekolah Kebangsaan Sintok, Sekolah Menengah Kebangsaan Sintok, Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara, dan Sekolah Kebangsaan Felda Bukit Tangga. Salah seorang peserta iaitu Nur Arissa Humaira menyatakan “Syok sangat…. Saya dapat masuk dalam alam maya dan nampak macam-macam. Saya boleh jawab quiz, dan jawab dengan betul”. Peserta Muhammad Aqil Asyraff pula menyatakan “Ini pengalaman pertama saya, memang best…selalu belajar dengan buku, ini belajar dalam alam maya, lawa, ada suara. Suasana dia luas, tapi nak bergerak mudah. Saya nak ajak kawan-kawan datang merasa VR ni”. Disini dapat dilihat bahawa peserta-peserta yang merasai IVR sangat teruja.

      Ketua program iaitu Prof. Ts. Dr. Ariffin (selaku Ketua Unit Penyelidikan Multimedia, Inovasi dan Kemanusiaan Digital – MIDH-RU), meluahkan kesyukurannya dihujung pameran di atas sambutan yang amat baik oleh komuniti setempat. Beliau mengungkap penghargaan kepada rakan kerjasama yang terlibat, iaitu MCMC Kedah, Peragold, dan PEDi Bukit Tangga. Menurut beliah, MIDH-RU akan sentiasa membawa kepakaran yang ada di STTMC ke dalam masyarakat untuk kemaslahatan UUM dan komuniti, dan negara amnya.

Sekian.