All News

SMMTC MELEBARLUAS MANFAAT HASIL INOVASI TEKNOLOGI REALITI MAYA IMERSIF (IVR) KE KOMUNITI CHANGLUN UNTUK DIRASAI BERSAMA

KUBANG PASU, 8 SEPTEMBER 2023: sebuah aktiviti jangkauan komuniti “Pameran Realiti Maya Imersif (IVR)” di kawasan Changlun telah dianjurkan oleh Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) Universiti Utara Malaysia (UUM).

      Program ini bermatlamat untuk mengembangkan faedah pembangunan inovasi dan hasil penyelidikan tenaga akademik SMMTC ke dalam komuniti. Melalui program ini para peserta dari komuniti setempat dapat merasai sendiri teknologi IVR. Semua peralatan pameran disediakan dan diurus oleh kakitangan SMMTC yang terdiri dari Profesor Ts. Dr. Ariffin Abdul Mutalib, Dr. Nur Sauri Yahya, dan Profesor Madya Ts. Dr. Sobihatun Nur Abdul Salam. Bahan yang dipamer merupakan produk hasil penyelidikan PhD Dr. Nur Sauri. Melalui aktiviti sebegini, yang membolehkan ahli komuniti merasai teknologi IVR yang dipamerkan, komuniti dapat mengetahui teknologi IVR dengan jelas, mempelajari kaedah berinteraksi dalam persekitaran IVR, memahami sebab VR diangkat menjadi agenda besar dalam IR4.0, dan banyak lagi manfaat lain. Program ini telah dijalankan dengan kerjasama strategik bersama MCMC Kedah, Peragold Technologies Sdn. Bhd., dan PEDi Changlun.

ch1a

          Melalui usahasama empat penjuru tersebut, perlaksanaan program menjadi efisyen, lancar, berimpak, dengan kos yang minima kerana kos operasi banyak ditaja oleh rakan kerjasama. Pihak rakan kerjasama memberi maklumbalas yang sangat baik bagi program ini. Menurut En. Mazlan (MCMC Kedah), pihaknya tidak ada masalah untuk menyambut baik jika program ini diulang lagi di masa hadapan. Bagi En. Hairil Hasan (Peragold), “Program ini amat baik sekali. Ia dapat membuka mata dan minda anak-anak dalam komuniti, dan ia patut diteruskan”. Sementara itu, Bagi pihak PEDi Changlun, Encik Muhammad Aizuddin Fitri Bin Khairuddin menyatakan “Saya syukur Prof. dan UUM sudi bekerjasama dengan kami bagi pameran ini. Saya yakin ia amat baik sekali dalam membuka minda anak-anak komuniti Changlun. Memang ada di Aman Sentral, tapi tiketnya mahal dan anak-anak ini memang tak mampu. Jadi dengan pameran sebegini, mereka dapat merasa dan faham apa itu IVR”. Program itu juga turut dihadiri Pengurus PEDi Bukit Tangga, En. Zulhilmy, dan Pengurus PEDi Chuping, Puan Zakiah Binti Rejab. 

ch4

          Seramai 17 peserta telah menyertai pameran itu, terdiri dari anak-anak di komuniti Changlun. Mereka merupakan pelajar sekolah rendah dan menengah di sekitar Changlun dan Sintok, termasuk Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara, Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun, Sekolah Kebangsaan Sintok, dan Sekolah Kebangsaan Felda Batu 8. Salah seorang peserta iaitu Muhammad Haziq menyatakan “Pada mulanya saya tak tahu IVR ni. Tapi bila mula pakai alat tu di kepala, rasa syok sangat. Macam-macam ada, boleh belajar, belek-belek kenderaan, dengar penerangan, syok…. Nak guna pun mudah”. Peserta Nur Hana Amani pula menyatakan “Saya rasa rugi kawan-kawan saya tak datang sekali pagi ni. Syok sangat, dapat belajar cara baru. Nanti saya nak cuba lagi.” Rata-rata peserta yang merasai IVR ini menyatakan keterujaan mereka.

ch5

          Ketua program iaitu Prof. Ts. Dr. Ariffin (selaku Ketua Unit Penyelidikan Multimedia, Inovasi dan Kemanusiaan Digital – MIDH-RU), mengkalungkan ucapan penghargaan kepada rakan kerjasama yang terlibat, iaitu MCMC Kedah, Peragold, dan PEDi Changlun. Beliau meluahkan kesyukurannya dihujung pameran di atas sambutan yang amat baik oleh komuniti Changlun. Menurut beliau, MIDH-RU akan sentiasa membawa kepakaran yang ada di SMMTC ke dalam masyarakat untuk kemaslahatan UUM dan komuniti, dan negara amnya.

Sekian.