Alor SETAR:
Pelajar Kursus Perhubungan Awam SCCA2073 dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) iaitu CommuniTree telah menganjurkan Program ‘Get To Know Spectrum’ di Pusat NASOM Alor Setar, baru-baru ini. Program kerjasama dengan Persatuan Autisme Malaysia (NASOM) Alor Setar itu telah melibatkan kanak-kanak autisme, ibu bapa dan juga tenaga pengajar NASOM Alor Setar.
Pengarah program, Yogeetha Manokaran berkata, program ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang awam tentang autism dan bagaimana layanan yang sepatutnya diberikan kepada golongan istimewa ini.
“Kami ingin mewujudkan kesedaran dalam kalangan pelajar tentang masalah yang dihadapi kanak-kanak autisme.
“Di samping itu, ingin mempromosikan pihak NASOM selaku sebuah badan bukan kerajaan (NGO) supaya mendapat lebih perhatian dan penghargaan daripada orang awam atas usaha mereka selama ini,” katanya.
Program turut dihadiri oleh pensyarah kursus, Dr. Nursafwah Tugiman bagi meninjau kelancaran program. Ujar beliau, program yang telah dijalankan oleh CommuniTree ini merupakan satu inisiatif yang baik untuk memberi pendedahan baru kepada golongan masyarakat setempat tentang autisme. Selain itu, katanya, ia turut memberi pendedahan baru kepada pelajar terlibat untuk mengenali lebih dekat anak-anak istimewa ini.
Pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang program berlangsung, antaranya ialah senamrobik, cap tangan berwarna di atas kanvas dan kuiz pantas.
Guru besar NASOM Alor Setar, Nurul Hayana Azizan turut menzahirkan keterujaannya kerana program sebegini merupakan program pertama yang melibatkan pihak NASOM di Alor Setar.
Tambahnya, beliau sangat gembira dengan program yang dijalankan kerana dapat melihat anak-anak serta ibu bapa bersama-sama menjalankan aktiviti yang diadakan oleh CommuniTree.