All News

PENGALAMAN JALANI PRAKTIKUM MUSIM PKP TIGA SAHABAT

UUM ONLINE: Siapa sangka pandemik Covid-19 akan mengubah kehidupan normal masyarakat seluruh dunia termasuk Malaysia hingga memaksa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dua tahun lalu.

newskonvo22

Dek penularan pandemik tersebut dan pelaksanaan PKP, Universiti Utara Malaysia (UUM) turut terkesan apabila terpaksa menunda Majlis Konvokesyen Ke-33 yang sepatutnya berlangsung pada 2020.

Pengumuman tersebut secara tidak langsung mengejutkan ramai pelajar yang menantikan detik bersejarah untuk berada di atas pentas bagi menerima ijazah masing-masing, tidak terkecuali tiga sahabat yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC).

Nur Shafiqah Rozizan, Nurul Sahadar Che Nuh dan Siti Masyitah Che Ishak beranggapan empat bulan terakhir mereka sebelum tamat pengajian dengan menjalani praktikum di Unit Komunikasi Korporat (UKK) kini UUM Corporate Communication ketika pandemik masih memberi 'sinar' untuk bergraduasi pada tahun berkenaan, namun sebaliknya berlaku.

Nur Shafiqah berkata, pertama kali mendapat perkhabaran bahawa tiada majlis konvokesyen diadakan pada tahun tersebut benar-benar mengejutkan kerana itulah satu-satunya majlis bersejarah yang menjadi saksi penat lelah selama empat tahun di UUM akhirnya berbayar apabila dapat berada di atas pentas Dewan Mu’adzam Shah itu.

Menurutnya, saban waktu dia menanti khabar gembira untuk konvo dan hampir sahaja 'berhenti berharap' untuk menikmati momen terindah itu seperti graduan universiti lain yang mula menganjurkan majlis konvokesyen pada tahun lalu.

Mengimbau kenangan menjalani praktikum di UUM sewaktu PKP, Nur Shafiqah berkata, ia masih segar di ingatan kerana semua pelajar tidak dibenarkan untuk keluar dari kampus setelah pelaksanaan PKP dan mereka perlu berada di Inapan Siswa (INASIS) masing-masing sepanjang tempoh tersebut.

Katanya, dengan waktu keluar yang terhad dimanfaatkan bersama-sama rakan praktikum yang lain di bilik dan mereka hanya keluar apabila perlu bekerja sahaja.

"Cabaran mula dirasai apabila saya dan dua lagi rakan yang sama-sama menjalani praktikum di UKK perlu bersiap sedia dipanggil bertugas yang melibatkan liputan berita termasuk ketika operasi penghantaran pelajar pulang yang sememangnya tidak dapat dilupakan.

"Saya tidak sangka pandemik Covid-19 yang melanda ketika itu menyebabkan kami tidak dapat konvo pada tahun yang sepatutnya, namun setelah 2 tahun menunggu, saya dan rakan-rakan lain tidak sangka UUM akan meraikan graduan pada hari konvokesyen semula," katanya yang kini bekerja sebagai Eksekutif Pembangunan Perniagaan di Pulau Pinang.

Sementara itu, Siti Masyitah Che Ishak menganggap PKP telah memberikan satu pengalaman bermakna dan luar biasa ketika menjalani praktikum di UKK.

Menurutnya, PKP bukanlah satu halangan untuk menjalani latihan praktikum dengan jayanya. Jangan jadikan PKP sebagai batu penghalang yang besar untuk mengembangkan bakat dan mendapatkan tunjuk ajar daripada staf walaupun tempoh masa praktikum yang singkat.

Katanya, pengalaman bekerja semasa PKP banyak mengajarnya tentang dunia pekerjaan sebenar yang mana dia dan rakan-rakan bukan sahaja mendapat ilmu tentang lapangan media, malah pentadbiran, penerbitan, pengurusan majlis dan grafik.

"Saya fikir sebaik tamat praktikum, kami akan konvo bersama-sama tetapi apabila diberitahu majlis konvokesyen UUM dibatalkan, memang saya sedih kerana bagi saya bukan mudah untuk mendapat segulung ijazah setelah belajar hampir empat tahun.

"Lebih setahun menanti akhirnya kami mendapat khabar gembira. Alhamdulillah, pihak universiti mengumumkan konvokesyen UUM akan diadakan pada tahun ini dengan meraikan graduan 2020, jadi saya terus membuat keputusan untuk menghadirinya. Terima kasih UUM!," katanya yang bekerja sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan di Kelantan.

Manakala Nurul Sahadar pula berkata, penantian untuk merasai momen berkonvokesyen sejak dua tahun lalu akhirnya tercapai meskipun dalam norma baharu dan perasaan yang berbeza dari majlis konvokesyen sebelum PKP.

Menurutnya, pandemik yang melanda ketika itu juga memberikan kesukaran kepadanya untuk mencari pekerjaan tatkala menanti hari bersejarah untuk bergraduasi.

Katanya, kesukaran tersebut menyebabkan dia mengambil keputusan untuk berniaga sendiri secara atas talian (online) di kampung halaman di Kelantan.

"Pelbagai produk saya cuba jual termasuk kosmetik dan biskut. Alhamdulillah, hasil jualan ini saya mampu mencapai sedikit demi sedikit impian saya walaupun berbeza dengan orang lain tapi saya bangga dengan usaha yang dilakukan.

"Saya tidak malu dengan pekerjaan yang dilakukan meskipun memiliki ijazah dan tidak menjawat jawatan besar seperti kebanyakkan graduan lain yang berjaya mendapat pekerjaan di sektor kerajaan mahupun swasta," katanya.

Tiga sahabat itu meraikan hari gembira mereka bersama-sama keluarga dan turut berterima kasih kepada pensyarah, keluarga dan rakan-rakan serta staf UKK yang telah banyak membantu mereka sepanjang berada di UUM.

Ketiga mereka menerima ijazah serentak pada sesi keenam yang disampaikan oleh Naib Canselor di Dewan Mu'adzam Shah.

__________________________________________

Sumber : UUM Corporate Comm.