All News

GRADUAN SULUNG GIGIH BELAJAR WALAUPUN SEORANG DIRI

UUM ONLINE: Walaupun keseorangan mengikuti pengajian, ia tidak mematahkan semangat Muhammad Azhar Tazirun Ismail, 28, sehingga berjaya menggenggam segulung Ijazah Sarjana Pengajian Multimedia pada sesi pertama Majlis Konvokesyen Ke-33 UUM di Dewan Mu’adzam Shah, semalam.

Beliau merupakan graduan sulung bagi program pengajian tersebut yang baru ditawarkan kepada pelajar pascasiswazah di bawah Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC).

image002

“Tidak sangka saya menjadi satu-satunya pelajar yang mengambil program pengajian ini. Ketika berada di bilik kuliah, saya berseorangan tanpa kawan-kawan untuk berbincang atau bergurau senda. Menyiapkan tugasan juga sendirian walaupun tugasan diberikan sepatutnya dilakukan secara berkumpulan, namun tetap jadi tugasan individu kerana dalam kuliah hanya saya seorang sahaja.

“Menjadi pelajar tunggal mula serasi dalam diri memandangkan dalam keluarga juga saya merupakan anak tunggal, jadi memang terasa sunyi apabila perlu berjuang seorang diri, jatuh bangun dan suka duka. Namun, demi masa hadapan saya kuatkan semangat mengharungi segala cabaran dengan tunjuk ajar daripada pensyarah yang tidak jemu membantu,” katanya yang kini bekerja sebagai jurugambar.

Anak tunggal kepada Ismail Jusoh dan Paridah Omar ini memilih UUM untuk menyambung minatnya dalam bidang multimedia yang kini sangat menjadi pilihan orang ramai.

Menurutnya, sebaik tamat persekolahan, dia mengambil Sarjana Muda Multimedia di UUM sebelum mengambil keputusan meneruskan pengajian di peringkat sarjana atas nasihat bapanya.

Katanya, bagi menampung kehidupan di universiti, dia melakukan kerja sambilan sebagai jurugambar dan membuat kerja suntingan gambar dan juga video. Dia bertuah kerana UUM yang terkenal dngan keindahan flora itu menjadi tempatnya untuk merakamkan panorama indah seperti 'hidden lake', Taman Rusa, Bukit Kachi, Pokok Tiga Beradik, Tasik Guthrie dan persekitaran kampus lain.

“Di UUM, saya dididik untuk mewujudkan peluang pekerjaan sendiri dalam bidang keusahawanan, sekali gus menjana pendapatan sebagai persiapan mencari pekerjaan tetap dalam ekonomi tidak menentu berikutan pandemik Covid-19.

“Kesempatan diberikan itu juga, saya berpeluang terlibat dalam aktiviti pelajar di peringkat antarabangsa seperti menyertai kursus fotografi serta peluang keusahawanan dalam program 'creativepreneur incubator' yang membuka laluan mudah untuk menubuhkan Daeha Photography Enterprise,” kata anak kelahiran Rantau Panjang, Kelantan.

Merupakan antara 99 graduan sulung pada Majlis Konvokesyen Ke-33 bagi sesi pertama yang menerima ijazah daripada Naib Canselor, Muhammad Azhar merakamkan penghargaan kepada semua pensyarah, pengurusan universiti dan khususnya kedua ibu bapa yang banyak membantu dan berdoa untuk kejayaan beliau menamatkan pengajian.

____________________________

Sumber : UUM Corporate Comm.