All News

MOMENTUM KEJAYAAN SMMTC DALAM RANKING TIMES HIGHER EDUCATION

UUM ONLINE: Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) berjaya mengorak langkah mengekalkan kedudukan dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings 2022.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, semua staf harus bekerja sebagai satu pasukan untuk terus berusaha dan istiqamah dalam perjuangan.

profhaim

Menurutnya, kejayaan dikecapi hari ini bukan satu usaha mudah kerana ia memerlukan komitmen luar biasa.

“Kita bermula dengan bertatih, melangkah  perlahan dan kemudiannya barulah kita berlari yang mana dalam tempoh yang lama. Jatuh bangun kita silih berganti, namun yang paling utama kita tidak pernah menukar hala tuju kita kerana kita tidak mahu jadi seperti kata pepatah ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran,” ujarnya.

Kata beliau, ranking bukan matlamat utama kita tetapi kecemerlangan dalampelbagai aspek khususnya pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, penerbitan,  hubungan industri dan pembangunkan masyarakat.

“Di samping itu kita yang mana hari ini UUM sedang membimbing 70 peratus pelajar yang datang dalam kalangan keluarga miskin atau B40 akan terus gigih berusaha untuk mempersiapkan mereka agar dapat bersaing secara kompetitif apabila memasuki sektor pekerjaan atau industri kelak.

“Saya berharap para pensyarah dan pentadbir dapat memberikan komitmen terbaik dalam membimbing pelajar kita sebelum melangkah ke dunia pekerjaan,” katanya pada Lawatan Penyerahan Sijil Rankings kepada Dekan SMMTC, Prof. Madya Ts. Dr. Sobihatun Nur Abdul Salam, semalam.

Prof. Dr. Haim Hilman turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada seluruh warga SMMTC di atas kejayaan tersebut dan beliau berharap semoga SMMTC terus cemerlang dan menjadi kebanggaan di masa akan datang.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan sijil Times Higher Education (THE) World University Rankings By Subject 2022 di atas kejayaan SMMTC tersenarai dalam kedudukan 401-500 terbaik dunia bagi subjek Sains Sosial dan 601 – 800 bagi subjek Sains Komputer serta 98 terbaik Asia untuk QS Rankings 2022 di Bilik Mesyuarat Utama SMMTC.

Sementara itu, Prof. Madya Ts. Dr. Sobihatun mengucapkan terima kasih kepada Prof. Dr. Haim Hilman dan pihak pengurusan yang sentiasa memberi sokongan penuh kepada SMMTC untuk mencapai kecemerlangan. 

Menurutnya, kejayaan dicapai itu adalah hasil dedikasi, komitmen dan kesungguhan warga SMMTC seterusnya menjadikan kata-kata semangat yang disampaikan itu sebagai suntikan untuk bekerja dalam satu pasukan dengan lebih tekun.

“Saya mengharapkan pasukan SMMTC sama-sama berusaha  dan menyahut seruan Prof. Dr. Haim supaya terus istiqamah agar kecemerlangan dipacu demi kecemerlangan UUM yang kita kasihi,” katanya.

____________________________

Sumber : UUM Corporate Comm.