All News

NSMTComm'21 KUPAS ISU MASA DEPAN YANG SELAMAT, LESTARI DAN SEJAHTERA

UUM ONLINE: Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) sekali lagi menganjurkan Seminar Kebangsaan Teknologi Multimedia dan Komunikasi (NSMTComm21) selama dua hari pada 27 dan 28 September lalu.

newsSMT

Dekan SMMTC, Prof. Madya Ts Dr. Sobihatun Nur Abdul Salam berkata, penganjuran seminar kali yang kelima itu melibatkan 49 buah kertas kerja dibentangkan mencakupi tema utama seminar berkenaan iaitu ‘Komunikasi, Media dan Teknologi: Kepelbagaian Perspektif dalam Membina Masa Depan yang Selamat, Lestari dan Sejahtera’.

Menurutnya, seminar itu mula diadakan sejak 2016 hingga 2019 di peringkat universiti dan berdasarkan kepada pencapaian seminar tersebut, NSMTComm dianjurkan di peringkat kebangsaan bagi mencakupi ruang penyertaan yang lebih luas serta isu yang lebih pelbagai dikongsikan.

Katanya, ini juga merupakan satu inisiatif pusat pengajian dalam mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) dan prestasi staf akademik dalam penerbitan serta pengalaman berkongsi hasil penyelidikan di seminar.

NSMTComm21 telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Romani Wan Salin.

Dalam ucapan beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada SMMTC atas penganjuran seminar yang disifatkan sebagai platform membincangkan isu yang amat mendesak untuk diperkatakan.

Menurutnya, dalam usaha untuk memastikan kelestarian, kesejahteraan dan keselematan rakyat di Kedah, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan negeri melalui peranan komunikasi, media dan teknologi, namun, petunjuk dan bukti empiris menjelaskan bahawa masih terdapat banyak ruang yang perlu dimantapkan untuk mencapai hasrat berkenaan.

“Pencemaran, kepupusan sumber, degradasi alam sekitar, peningkatan sisa, kemiskinan, penurunan kualiti hidup dan sebagainya terus mengancam kelestarian alam sekitar dan kehidupan. Terkesan dengan pandemik Covid-19, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan negeri Kedah untuk menyalurkan maklumat kepada rakyat, tidak hanya terhad kepada penggunaan media, media sosial turut digerakkan sejajar dengan pelaksanaan Kedah Digital.

“Kerajaan negeri sangat berhasrat untuk menjalinkan usaha yang lebih banyak dengan UUM dan SMMTC sendiri dalam melaksanakan agenda berkaitan dengan komunikasi, media dan teknologi serta pembangunan yang selamat, lestari dan sejahtera kerana dengan adanya sebuah institusi pengajian tinggi yang memberikan penekanan kepada pengurusan aspek ini dengan cemerlang, saya percaya usahasama antara pelbagai pihak dapat membantu dalam memacu negeri jelapang padi ini ke arah ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’,” katanya.

Seminar ini turut menampilkan pengucaptama yang merupakan Profesor Adjung SMMTC iaitu Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Dato’ Suriani Dato’ Ahmad dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Shahimi Mohtar yang menyampaikan ucapan aluan.

Dalam ucaptama Dato’ Suriani berkata, kelestarian, keselamatan dan kesejahteraan sering kali bergabung bagi menggambarkan impian masa depan setiap masyarakat global.

Menurutnya, kestabilan masyarakat hari ini tergugat dengan berbagai ancaman yang boleh meruntuhkan nilai-nilai kemanusiaan dan memporak-perandakan sesebuah masyarakat atau negara. Justeru, isu selamat, lestari dan sejahtera menjadi satu agenda perjuangan masyarakat global kini yang wajar untuk dibincangkan.

Katanya, elemen komunikasi, media dan teknologi dilihat mampu memainkan peranan dalam membantu mencapai hasrat ini. Oleh itu, anggota masyarakat perlu menguasai pendigitalan dan meraih peluang yang muncul daripada perubahan ini demi kesejahteraan semua serta untuk terus kekal relevan dan berdaya saing.

Seminar berkenaan juga menyaksikan pengiktiraf terhadap hasil usaha akademik melalui memberikan pengiktiran terhadap lima kertas kerja terbaik yang dibentangkan.

________________________________

Oleh Normizan Yusoff

Gambar oleh: SMMTC

Sumber : UUM Corporate Comm.