i-COME’20 Mendepani Cabaran Masa Depan

UUM ONLINE: Pandemik Covid-19 telah memaksa penduduk dunia berubah ke arah teknologi dengan lebih pantas dalam membentuk masa depan yang akan datang. Berucap pada 7th International Conference on Communication and Media 2020 (iCOME’20), Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Saifuddin Abdullah berkata, teknologi akan mempengaruhi ekonomi dan industri pada masa depan.

Mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini, kerajaan berpendapat internet merupakan utiliti yang ketiga selepas utiliti air dan elektrik. Menurutnya, ini menunjukkan jaringan internet merupakan utiliti ketiga dan memainkan peranan yang sangat penting yang menjadi keutamaan negara.

“Hari ini, kita berdepan dengan pelbagai cabaran teknologi yang datang dalam pelbagai peringkat ada yang sudah mempraktikkannya, ada yang dalam ‘progress’ dan ada yang belum membiasakan diri dengan teknologi.

“Bagi negara membangun kita melihat kepentingan teknologi malah Covid-19 telah mendesak kita bergerak ke arah teknologi lebih pantas dari yang dirancang,” katanya ketika merasmikan iCOME’20 anjuran SMMTC, semalam. 

Beliau berkata, setiap negara perlu bersedia mendepani cabaran masa depan memandangkan teknologi telah berubah dan generasi kini lahir dalam arus teknologi.

Justeru, menurutnya, kita perlu bersedia dengan era digital, apabila teknologi datang kita sedia menggunakannya terutamanya di era Revolusi Industi 4.0 dan ekonomi digital seiring dengan usaha kerajaan yang membentuk agenda digital nasional.

Namun katanya, tidak ada gunanya bercakap tentang teknologi 4.0 tetapi fasiliti dan jaringan internet masih berada di tahap kurang memuaskan.

Dalam pada itu beliau merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada UUM yang menganjurkan iCOME’20 bertemakan ‘Breaking the barriers, inspiring tomorrow’.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir berkata, wabak Covid-19 menjejaskan kehidupan rakyat dan menyebabkan kemerosotan ekonomi yang teruk di seluruh dunia. Menurutnya, kerajaan di seluruh dunia masih berjuang untuk memulihkan ekonomi masing-masing. 

Katanya, ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) yang berpanjangan, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui bahawa Malaysia kehilangan sebanyak RM2.4 bilion setiap hari dalam tempoh penguatkuasaan MCO kerana penggantungan aktiviti ekonomi secara besar-besaran.

“Tidak dapat dielakkan, penutupan tersebut telah membawa akibat yang buruk pada ekonomi ketika semua lapisan masyarakat terjejas.

“Oleh itu, untuk memastikan kita dapat bertahan dan terus menjalani kehidupan, semua orang perlu memecahkan halangan dalam komunikasi masa kini dan mengubah cara urusan dijalankan,” katanya menerusi Webex.

Tambah beliau, perubahan amat diperlukan dari pelbagai sektor kerana pandemik yang belum pernah terjadi ini menjadi pengalaman berharga untuk dipelajari dan semua orang harus merebut peluang ini untuk memahami dan mempelajari kesan tingkah laku yang berbeza.

Menurutnya, penganjuran iCOME di saat negara dilanda penularan Covid-19 adalah tepat pada masanya kerana menyediakan platform yang ideal untuk para sarjana dan pakar dalam bidang komunikasi dan media untuk berkongsi penemuan penyelidikan mereka, di samping menjalin kerjasama yang berpotensi dalam mengembangkan penemuan penyelidikan yang positif.

Katanya, konvergensi sektor Komunikasi dan Multimedia menuntut agar Malaysia menyesuaikan diri dengan landskap yang berubah dengan pantas untuk terus berdaya saing di peringkat global.

“Memahami bahawa revolusi industri baru ini membawa cabaran yang lebih besar dan lebih rumit, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah mempersiapkan Malaysia dengan dasar dan peluang untuk industri komunikasi dan multimedia,” katanya.

Sumber : Komunikasi Korporat UUM

 

Connect with us

School of Multimedia Technology and Communication (SMMTC),
UUM College of Arts and Sciences,
Universiti Utara Malaysia,
06010 UUM Sintok,
Kedah Darul Aman, Malaysia.

  • Phone: +604 9285801 / 5803 / 5810 / 5813 / 5814

  • fax: +604 9285804

  • email: mmtc@uum.edu.my

 

Search