Perutusan Khas Naib Canselor Sempena Hari Pekerja 2020

Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

ALHAMDULILLAH. Hari Pekerja 2020 disambut dalam bulan yang penuh keberkatan dan pada hari yang penuh kemuliaan, iaitu bulan Ramadan dan hari Jumaat penghulu segala hari.

Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, sambutan Hari Pekerja pada tahun ini mencipta sejarah tersendiri apabila kita semua bersatu hati mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan. Hal ini bermakna tiada perhimpunan dan sambutan di tempat terbuka.

Saya akui, walaupun kita tidak perlu hadir ke pejabat sepanjang PKP ini namun perjalanan pentadbiran dan operasi Universiti tidak tergendala. Malah, banyak hikmah tersembunyi apabila ramai yang mula menyambut baik penggunaan teknologi secara lebih cekap dan menyeluruh. Hakikatnya, baik kakitangan pentadbiran mahupun akademik berjaya membiasakan diri masing-masing dengan keadaan baharu ini dalam tempoh yang singkat. Memang benar bahawa dunia hari ini berada di hujung jari kita sahaja.

Di sini saya benar-benar menghargai sumbangan yang diberi semua kakitangan kerana walaupun fizikal kita tidak berada di tempat kita bertugas namun amanah selaku pekerja dan kakitangan kerajaan tetap dilaksanakan dengan penuh dedikasi. Ramai daripada kita berada di barisan belakang atau backliners bagi menyokong usaha dan perit jerih barisan hadapan (frontliners) yang setia berbakti walaupun menanggung risiko yang berat. Terima kasih saya ucapkan! Tanpa anda, pasti segala perancangan yang diatur tidak dapat dilaksanakan dengan baik dan cekap.

Oleh itu, tema sambutan Hari Pekerja tahun ini, iaitu “Pekerja Tunjang Kelestarian Negara”, sememangnya menunjukkan semangat jitu kita sebagai kakitangan kerajaan yang tetap teguh melaksanakan tugas walaupun banyak dilanda badai. Teruskan sikap amanah dan dedikasi dalam melaksanakan tanggungjawab demi pembangunan agama, bangsa dan negara.

Selamat Menyambut Hari Pekerja 2020.

Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

PROF. DATO’ DR. AHMAD BASHAWIR HAJI ABDUL GHANI

Naib Canselor
Universiti Utara Malaysia

 

Sumber : UUM Corporate Comm.    Download pdf

Connect with us

School of Multimedia Technology and Communication (SMMTC),
UUM College of Arts and Sciences,
Universiti Utara Malaysia,
06010 UUM Sintok,
Kedah Darul Aman, Malaysia

  • Phone: +604 9285801 / 5803 / 5810 / 5813 / 5814

  • fax: +604 9285804

  • email: mmtc@uum.edu.my

 

Search