Penantian Berakhir..Pelajar Teruja Bertemu Keluarga

UUM ONLINE: Penantian lebih 30 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) hampir dua bulan untuk pulang ke kampung halaman termakbul apabila mereka dihantar pulang pada malam tadi.

 

Pelajar, Nurul Suhaiza Fazilah berkata, dia bersyukur kerana peluang untuk pulang ke pangkuan keluarga tercapai selepas kerajaan memberi kelonggaran untuk membenarkan pelajar IPT pulang ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Menurutnya, kepulangannya sangat dinantikan ahli keluarga di Sabak Bernam, Selangor kerana hampir sebulan lebih dia terkandas di UUM dan tidak dapat bertemu dengan keluarga tercinta.

 

Katanya, dia gembira kerana sudah lama tidak berjumpa keluarga, malah mereka juga sangat gembira menyambut kedatangannya selepas lebih sebulan berada di kampus.

 

“Bagaimanapun, dalam kegembiraan untuk pulang, saya berasa sedih apabila terpaksa meninggalkan kawan-kawan yang tidak dapat pulang.

 

“Selain itu, saya juga berterima kasih kepada UUM kerana tidak mengabaikan pelajar, malah begitu cakna dengan kebajikan kami. Pihak universiti menjaga makan minum serta keselamatan kami semua sepanjang berada di dalam kampus,” katanya.

 

Sementara itu, bagi Saiful Hadi Jamal Shuhaily, pujian terhadap pengurusan UUM perlu diberikan kerana sepanjang tempoh dia berada di UUM, kebajikan serta keselamatan pelajar sentiasa dijaga dan terkawal.

 

Menurutnya, dalam kegembiraan untuk pulang ke kampung, sudah pasti akan timbul rindu pada kampus dan kawan-kawan.

 

“Saya berterima kasih kepada UUM yang banyak membantu pelajar dari awal PKP sehingga kami dapat pulang ke kampung pada malam ini,” katanya selamat tiba di Kalumpang, Hulu Selangor.

 

Muhammad Zulrasyidi Mustafa turut melahirkan rasa gembira apabila mendapat panggilan daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar yang memaklumkan dia akan dihantar pulang ke kampung.

 

Katanya, panggilan itu adalah saat yang dinantikan selepas pengumuman kerajaan membenarkan pelajar untuk balik ke rumah masing-masing.

 

“Saya rindukan ahli keluarga dan tidak sangka akan berpeluang menyambut Ramadan bersama mereka pada kali ini dan In Sha Allah meraikan bersama Aidilfitri kelak.

 

“Di samping itu, saya sangat berbangga dengan pihak Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga pihak lain kerana berjaya menjalankan tugas dengan cemerlang dan menjaga keselamatan serta kebajikan kesemua pelajar IPT dengan baik dalam tempoh memerangi Covid-19,” katanya yang selamat tiba di Putrajaya awal pagi tadi.

 

Oleh: Nurul Sahadar Che Nuh (Pelajar Pelatih dari SMMTC)

 

Gambar oleh: Shamsaimi Ezil

 

Sumber : UUM Corporate Comm.

Connect with us

School of Multimedia Technology and Communication (SMMTC),
UUM College of Arts and Sciences,
Universiti Utara Malaysia,
06010 UUM Sintok,
Kedah Darul Aman, Malaysia.

  • Phone: +604 9285801 / 5803 / 5810 / 5813 / 5814

  • fax: +604 9285804

  • email: mmtc@uum.edu.my

 

Search