Kutip Sampah Di Pantai Chenang – Tingkat Rasa Cinta Alam Sekitar

 

 

 

UUM ONLINE:  Sebut sahaja Langkawi ramai terkenang Pantai Chenang yang indah mempesona. Laut yang membiru, pasir yang memutih, camar berterbangan bebas di angkasaraya yang meriah dengan acara laut yang menjadi destinasi tarikan pelancong. 

 

Tetapi jika pantai tercemar dengan sampah yang dibuang sesuka hati yang menyakitkan pandangan mata pasti memberi imej negatif terhadap Malaysia. 

 

Atas kesedaran itu, UUM melancarkan Cenang Go Green and Clean untuk membantu kerja pembersihan di Pantai Cenang  dengan mengutip sampah dan menggantung sepanduk kempen kebersihan di sekitar pantai.

 

Menurut siswa Pentadbiran Awam, Mohd Rahmad Abdullah, Langkawi merupakan salah satu pulau Pelancongan yang menjadi tumpuan pelancong dari luar dan dalam negara hampir 4 juta setahun menjadikan pulau ini penuh sesak pada musim cuti.

 

Ujarnya, Pantai Chenang merupakan destinasi wajib dikunjungi pelancong bagi menikmati keindahan alam namun sikap mementingkan diri dengan membuang sampah di merata-rata menyebabkan pantai menjadi kotor dan tidak selesa.   

 

“Dalam program ini, peserta dibahagikan kepada dua bahagian untuk mengutip sampah di pantai dan jalan raya dengan bantuan hotel dan kemudahan yang disediakan 

 

“Kami berjaya mengutip sampah termasuk yang boleh dikitar semula dan kami berjaya plastik, penutup botol, beg, straw, bekas makanan dan minuman serta 1,460 puntung rokok yang dibuang di sepanjang pantai tersebut,” katanya.

 

Sementara itu, Pensyarah Kursus Perhubungan Awam merangkap penasihat PERKOM UUM, Dr. Mohd Zuwairi Mat Saad berkata, program membersihkan kawasan pantai merupakan salah satu sumbangan untuk masyarakat selain menjalankan aktiviti akademik dalam kalangan pelajar.

 

Program ini dianjurkan oleh Persatuan Komunikasi (PERKOM) dengan kerjasama pelajar pengajian jarak jauh PACE Universiti Utara Malaysia (UUM), Trash Hero Langkawi, Majlis Perbandaran Langkawi, IDAMAN Langkawi, LADA dan agensi lain yang turut memberi sokongan dan tajaan.

 

“Kami berharap dapat mewujudkan kesedaran kepada masyarakat dan pelancong tentang kepentingan menjaga alam sekitar untuk diwariskan kepada generasi akan datang sekali gus menyerlahkan imej UUM sebagai universiti di Rimba Hijau yang menyayangi alam sekitar,” luahnya.

 

Pengarah Program, Nursyafney Ulfa Che Mustaffa berkata, projek di bawah subjek SCCA 2073 Public Relation merupakan salah satu usaha dalam melestarikan kebersihan pantai di samping menyumbang kepada keseimbangan ekosistem.

 

“Tinjauan mendapati tahap kesedaran terhadap kebersihan masih rendah jadi program ini diadakan untuk memberi kesedaran kepada penduduk dan pelancong di pulau peranginan yang terkenal seluruh dunia.

 

“Sambutan amat menggalakkan yang menarik 100 peserta yang terdiri daripada penduduk tempatan, pelbagai agensi kerajaan, swasta

 

“Menariknya ibu bapa dan kanak-kanak turut sama memeriahkan acara mengutip sampah beramai-ramai, bak kata pepatah melentur buluh biar daripada rebungnya, apabila mereka diajar sejak dari kecil untuk menjaga kebersihan. 

 

“Kita menyediakan sarung tangan, sanitizer, makanan dan minuman, topeng muka dan beg sampah untuk memastikan semua peserta dilindungi ketika sesi membersihkan pantai,” katanya.

 

Selain itu, program ini turut menggiatkan kempen kebersihan dalam memujuk dan mendidik penduduk denganmengedarkan poster, risalah dan membuka gerai untuk menceritakan pentingnya memelihara dan memulihara pantai dan alam. 

 

“Dengan cara ini, bukan sahaja kita dapat mewujudkan hubungan antara pelajar dan masyarakat, tetapi kita juga dapat meningkatkan rasa tanggungjawab di kalangan masyarakat untuk memulihara alam sekitar,” ujarnya. 

 

Tambahnya, banyak faedah yang diperoleh dalam program ini antaranya kitar semula di mana sampah yang dikutip dibahagikan mengikut kategori kitar semula seperti  tin, kaca dan plastik. 

 

“Kitar semula dapat mendidik diri kita untuk menyedari betapa banyaknya sampah   yang dihasilkan setiap hari selain mengurangkan pencemaran di udara, air dan tanah jadi kita perlu mengekalkan kelestarian alam sekitar untuk keselamatan bumi serta  kesihatan lebih terjamin.

 

“Pihak UUM mengucapkan jutaan terima kasih kepada organisasi dan semua pihak yang mengembleng tenaga dan memberi sumbangan dalam menjayakan program ini,” tambahnya.

 

Source : UUM Corp Comm

 

Connect with us

School of Multimedia Technology and Communication (SMMTC),
UUM College of Arts and Sciences,
Univeristi Utara Malaysia,
06010 UUM Sintok,
Kedah Darul Aman, Malaysia

  • Phone: +604 928 5800 /5801 / 5802 / 5803

  • fax: +604 928 5804

  • email: mmtc@uum.edu.my

 

Search