CITE Zone Serlah Kemampuan Anak Muda Dalam Industri Kreatif

Last Updated : 11 April 2016 [download this file]

smmtcDiscover2016

09 APRIL 2016 / 01 REJAB 1437H

CITE ZONE SERLAH KEMAMPUAN ANAK MUDA DALAM INDUSTRI KREATIF

citeZone all 1 

UUM ONLINE: Creative Industry Talent Empowerment Zone 2016 (Cite Zone 2016) diyakini mampu membuka mata negara lain terhadap kemampuan anak-anak muda dalam industri kreatif.

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Dato' Kamil Othman yang membacakan teks ucapan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) berkata, penganjuran CITE Zone ini adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan melalui KKMM sebagai peneraju Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) sejak 2010 lagi.

Menurutnya, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM200 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bagi membiayai aktiviti-aktiviti berkaitan industri kreatif seperti pengeluaran filem dan drama, animasi serta pembangunan kandungan tempatan.

"Kementerian melihat usaha ini perlu diperhebatkan lagi bukan sahaja di peringkat tempatan malah sudah sampai masanya bakat-bakat dan produk tempatan dibawa ke luar negara.

"Hal ini terbukti dengan terlaksananya program CITE Zone yang akan membuka mata negara luar terhadap kemampuan anak-anak muda kita dalam industri kreatif," katanya pada Majlis Perasmian CITE Zone 2016 di Dewan Tan Sri Othman, pagi tadi.

CITE Zone yang berlangsung selama empat hari mulai hari ini sehingga 12 April melibatkan penyertaan 120 pelajar dari universiti awam dan swasta, politeknik dan Kolej Komuniti itu memberi peluang kepada generasi muda untuk menguasai ilmu kreatif.

Tambah beliau lagi, untuk memacu ke arah kemuncak kejayaan, kreativiti dan pemikiran di luar kotak perlu dicambah dan dirangsang dari akar umbi.

Katanya, beliau yakin UUM mampu melakukannya dan CITE Zone harus bermula dari utara, malah menaruh harapan tinggi program tersebut akan menjadi pemangkin kepada industri kreatif negara dalam menghasilkan produk dan bakat berpotensi tinggi.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Hasan Ali yang membacakan teks ucapan Naib Canselor berkata, program anjuran bersama Pusat Pengajian Teknologi, Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) UUM dan KKMM itu dipecahkan kepada empat sektor utama iaitu bidang filem, drama TV, animasi dan muzik yang mana tenaga pengajar dan fasilitator dijemput  merupakan selebriti-selebriti terkenal  dalam bidang industri kreatif seperti Aziz M. Osman, Pekin Ibrahim, Habsah Hassan dan Cat Farish.

Ujarnya lagi, kemuncak program ini ialah sesi pitching yang dikendalikan oleh FINAS Pitching Centre melibatkan peserta-peserta bengkel Masterclass yang mana peserta terbaik bakal menerima anugerah khas dari FINAS berbentuk dana Micro Fund.

"Selain itu, CITE Zone 2016 ini juga adalah bersempena kempen Discover UUM 2016 yang secara tidak langsung dapat memperkenalkan UUM serta keindagan dan keistimewaan kampus ini selaras dengan konsep edutourism dan edutainment.

"CITE Zone ini juga diharap dapat dimanfaatkan untuk bersama-sama berkongsi maklumat, idea, pengalaman dan kepakaran dalam bidang Industri kreatif, seterusnya mencetuskan inspirasi dan semangat ke arah kecemerlangan universiti terutamanya dalam bidang seni dan hiburan tanahair," katanya.

Hadir sama, Prof Dr Norshuhada Shiratuddin, Penolong Naib Canselor UUM CAS; Nik Kamaruzaman Nik Husin, Setiausaha Bahagian Kandungan, KKMM; Dr Norsiah Abdul Hamid, Dekan SMMTC serta pegawai-pegawai UUM dan FINAS.

 

ukkadd 

 

UUM  MSCMalaysia-link myGov-linkmampu-linkmyideas-linkmyline-linkkrste-linktourismMsia-link
footerUUM