AC4LV Bantu Pelajar Masalah Penglihatan Dalam Aktiviti Pembelajaran

Last Updated : 21 January 2016 [download this file]

smmtcDiscover2016

19 JANUARI 2016 / 09 RABIULAKHIR 1437H

AC4LV BANTU PELAJAR MASALAH PENGLIHATAN DALAM AKTIVITI PEMBELAJARAN

image004 

 

UUM ONLINE: Bagi membantu pelajar yang mempunyai masalah penglihatan agar tidak ketinggalan dalam aktiviti pembelajaran mereka, penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Ariffin Abdul Mutalib membangunkan bahan pembelajaran elektronik yang memfokuskan kepada aplikasi rekaan kandungan khusus untuk pelajar yang mempunyai masalah ini.

 

Produk yang dinamakan Assistive Courseware for Young Low Vision Learners (AC4LV) itu dibangunkan bersama dua lagi penyelidik iaitu Dr Nurulnadwan Aziz dan Dr Siti Mahfuzah Sarif bertujuan memenuhi keperluan golongan yang mempunyai masalah penglihatan terutamanya dalam aspek kandungan kerana rata-rata kajian bagi golongan yang mempunyai masalah penglihatan sama ada perkakasan (hardware) ataupun perisian (software) adalah dalam bentuk infrastruktur.

 

"Pelajar yang menghadapi masalah penglihatan seringkali mengalami kesukaran dalam aktiviti pembelajaran kerana penggunaan teknik pengajaran dan pembelajaran konvensional yang sama dengan pelajar normal adalah agak mencabar bagi pelajar-pelajar yang mempunyai masalah ini.

 

"Walaupun alat bantuan penglihatan mungkin dapat membantu mereka, tetapi ia memerlukan kemahiran teknikal untuk mengendalikannya. Selain itu, teknologi yang disediakan adalah dari aspek perkakasan dan perisian, sedangkan masalah yang dihadapi oleh golongan ini adalah dari segi kandungan," ujar beliau yang juga merupakan Timbalan Dekan di Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC).

 

Jelas beliau, pelajar yang mempunyai masalah penglihatan memerlukan bahan pembelajaran yang khusus yang dapat memenuhi keperluan mereka dalam pembelajaran tanpa menghadapi kesukaran terutamanya dari segi capaian maklumat, mudah dinavigasi dan keseronokan.

 

"AC4LV dibangunkan berdasarkan set garis panduan khusus bagi pelajar yang mempunyai masalah penglihatan yang mana ia diformulakan melalui siri keterlibatan pengguna melalui pendekatan reka bentuk terpusat pengguna (User-centred Design).

 

Prinsip rekaan di dalam AC4LV dibina berdasarkan lapan elemen iaitu audio, gaya format dan teks, grafik, animasi, transisi, butang navigasi, susun atur antara muka dan interaksi umum dibangunkan berdasarkan hasil analisis perbandingan bagi memudahkan pembelajaran pelajar yang mempunyai masalah penglihatan. Contohnya dari segi audio, perlu menyediakan penjelasan auditori, menyediakan sebutan yang jelas dan tidak memasukkan muzik latar," katanya.

 

Menurut Dr. Ariffin, kajian untuk membangunkan AC4LV dijalankan secara berperingkat, melibatkan graduan sarjana dan doktor falsafah serta  proses sistematik dan saintifik yang sangat teliti dengan penglibatan pelajar-pelajar bermasalah penglihatan, sekolah di mana mereka belajar dan beberapa pihak lain termasuklah pembuat dasar.

 

"Penghasilan AC4LV memakan masa hampir dua tahun bermula dari penetapan keperluan sehingga ujian pengguna. Setiap fasa yang terdiri dari proses menetapkan keperluan, mereka bentuk, membangun, dan ujian pengguna melibatkan kerjasama dengan pihak sekolah, di mana para pelajar dan tenaga pelajar terlibat secara langsung."

 

"Proses-proses yang saintifik yang dibentangkan telah diiktiraf oleh UUM yang seterusnya menaja kajian ini melalui sebuah geran penyelidikan berimpak tinggi kategori penyelidik individu (Penyelidikan Individu Berimpak Tinggi - PIBT) berjumlah RM19,000," katanya.

 

Melalui pelbagai fasa tersebut, kajian mengenai AC4LV ini telah mencapai beberapa pengiktirafan antaranya Anugerah Perak di Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA 2015), Anugerah Gangsa di Research Innovation Symposium & Exposition (RISE2015) dan Malaysia Technology Expo 2014 (MTE 2014).

 

Selain itu, salah satu konsep yang mendasari AC4LV juga telah menerima pengiktirafan Best Paper Award di 3rd International Conference on Interactive Digital Media (ICIDM 2014). Dapatan-dapatan berkaitan AC4LV juga diterbitkan dalam jurnal-jurnal antarabangsa termasuk yang berindeks scopus.

 

ukkadd 

 

UUM  MSCMalaysia-link myGov-linkmampu-linkmyideas-linkmyline-linkkrste-linktourismMsia-link
footerUUM