All News

Savy Today jadi kebanggaan dua mahasiswa pascasiswazah SMMTC

SINTOK, 16 April - Biar pun tidak mengikuti pengajian kewartawanan di peringkat ijazah, dua mahasiswa pascasiswazah Pusat Pengajian Teknologi Media dan Komunikasi, (SMMTC) Universiti Utara Malaysia, (UUM) kini berbangga kerana berjaya menghasilkan portal berita, Savy Today.

Husam Alustwani dan Quan Kai, masing-masing berasal dari Syria dan China, berganding bahu bagi membangunkan portal tersebut yang memberi fokus kepada perkembangan dunia sains dan teknologi antarabangsa.

Kedua-duanya sedang mengikuti pengajian Sarjana Kewartawanan Multimedia pada mulanya diberi tugasan menyiapkan kertas cadangan penghasilan portal berita.

Namun, menyedari bidang kewartawanan digital sedang berkembang pesat ketika ini serta penghasilan portal kini lebih mudah dengan adanya teknologi, mereka membuat keputusan untuk melancarkan portal tersebut.

Bagai serampang dua mata, pelancaran portal itu bukan sahaja memenuhi kerja kursus untuk pengajian mereka tetapi menjadi platform kepada Husam dan Quan untuk menceburi bidang kewartawanan digital dengan serius.

“Walaupun tidak pernah bekerja sebagai wartawan, pendedahan yang diperoleh di dalam bilik kuliah dan lawatan ke agensi berita BERNAMA di Alor Setar, meningkatkan minat kami berdua untuk menceburi bidang ini. Saya dan Quan bersetuju menghasilkan Savy Today untuk mengembangkan lagi minat kami di dalam bidang kewartawanan digital. Di Malaysia, terdapat kemudahan Internet yang sangat baik dan melancarkan lagi proses kami menghasilkan portal ini,” jelas Husam.

Menurut Quan pula, memilih Malaysia untuk menyambung pengajian dianggap sangat tepat disebabkan kemajuan sistem pendidikan tinggi di negara ini dan keharmonian yang dinikmati rakyat pelbagai kaum.

“Malaysia adalah sebuah negara yang sangat maju. Tidak terkecuali bidang pendidikan tingginya. Dan, di sinilah saya bertemu rakan sekuliah, Husam yang berkongsi minat sama iaitu bidang sains dan teknologi. Saya berpengalaman di dalam bidang reka bentuk grafik manakala, Husam mempunyai doktor falsafah di dalam bidang teknologi maklumat. Gandingan kami membolehkan kerja menghasilkan portal ini berjalan lancar ditambah dengan faktor Malaysia mempunyai kemudahan Internet yang moden,” menurut Quan.

Mereka berharap portal tersebut dapat menjadi batu loncatan untuk pengembangan kerjaya di dalam bidang kewartawan digital selain menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain supaya mencuba sesuatu yang baharu dengan memanfaatkan ilmu pengetahuan yang diperoleh di universiti.

Buat masa sekarang, pengurusan portal dikendalikan sepenuh masa oleh mereka serta yakin bahawa berita mengenai sains dan teknologi mempunyai tempat tersendiri di dalam dunia kewartawanan.

“Dunia sains dan teknologi semakin berkembang pesat di seluruh dunia, kelahiran portal ini merupakan satu sumbangan kecil kepada bidang tersebut bagi membolehkan lebih ramai pembaca memahami dunia sains dan teknologi,” jelas Husam lagi.

Kelebihan utama kewartawanan digital adalah, mereka boleh beroperasi di mana sahaja dan hanya bergantung kepada akses Internet.

 160424 sAVY 1
Husam dan Quan memilih Malaysia untuk melanjutkan pelajaran kerana kemajuan bidang pendidikan tinggi selain kagum dengan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia berbilang kaum / Foto UUM

 

Sumber : Berita RTM